Perbicaraan kes rasuah Tengku Adnan, Eng Boon pada Jumaat depan

Tengku Adnan
Tengku Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini akan menetapkan tarikh perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon pada Jumaat depan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 23 Ogos untuk pengurusan kes bagi pihak pendakwaan dan pembelaan hadir ke mahkamah untuk menentukan tarikh perbicaraan kes tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes Tengku Adnan bermula pada 3 September manakala Eng Boon pada 17 September.

“Mahkamah sebelum ini membenarkan kedua-dua kes berkenaan dibicarakan bersama kerana fakta bagi kedua-dua kes berkenaan adalah sama,” katanya semasa pengurusan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Putrajaya itu yang diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Julia memohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes lain bagi pihak pendakwaan dan pembelaan hadir untuk memutuskan tarikh perbicaraan yang sesuai dan mahkamah menetapkan 23 Ogos ini.

Pada 9 Ogos lalu, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah melibatkan Eng Boon dan Tengku Adnan dibicarakan bersama.

Pada 15 November lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta, daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pada tarikh yang sama, Eng Boon, yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembangunan hartanah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan. - Bernama