Ahli politik Muslim perlu berani bersuara

Firdaus Wong Wai Hung
Firdaus Wong Wai Hung
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik Muslim perlu berani bersuara ke atas rakan sekutu mereka yang bersikap biadab.

Presiden Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa, Firdaus Wong Wai Hung berkata, ahli politik yang rakus perlu berhenti mengkritik manakala pihak berkuasa perlu tegas ke atas ahli politik dan 'public figure' yang sengaja mencetuskan polemik sehingga menyebabkan ketegangan kaum dan agama.

Menurutnya, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama perlu bersatu menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik tidak akan diekstradisi.

"Polemik yang berlaku itu apabila terdapat pihak yang dengan sengajanya mengambil sedutan ceramah beliau (Zakir Naik) dan dijadikan sebagai berita selain mensensasikan berita itu dengan tajuk provokatif.

"Wujudnya polemik kerana terdapat ahli politik yang seperti orang mengantuk disorongkan bantal mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh," katanya kepada Sinar Harian.

Firdaus berkata, Dr Zakir turut mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat pihak sengaja mengambil teks di luar konteks.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak berlaku adil dengan melihat keseluruhan ceramah.

"Mungkin ada yang kita setuju dan tidak tetapi bukan semua perkara yang kita tak suka dan tak setuju itu adalah jenayah? Bagaimana pula dengan Waythamoorthy yang berbohong dan memburuk-burukkan negara di luar dan kenapa sehingga kini tiada tindakan dikenakan terhadap beliau?

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana pula dengan M Kula Segaran yang memanggil Melayu pendatang dan kemudian beliau menafikan tetapi kemudian beliau meminta maaf kerana memanggil Melayu pendatang?" soalnya.

Penceramah bebas itu turut mempersoalkan tindakan ahli perniagaan Lee Kim Yew yang menghina Jalur Gemilang, namun sehingga sekarang tidak ditahan dan didakwa kerana menghina simbol dan lambang negara.

Katanya, begitu juga dengan ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang turut menghina tentera yang berkorban jiwa dan raga mempertahankan negara.

"Dibandingkan apa yang mereka petik ceramah Zakir Naik di luar konteks dengan perbuatan serta perkataan dari mereka yang disebut tadi, maka jelas apa yang dilakukan ahli politik dan ahli perniagaan itu lebih jauh lebih teruk," katanya.

Mengulas mengenai terdapat fahaman yang tidak selari di antara Perdana Menteri dengan menteri-menteri yang dikaitkan, beliau berpandangan mereka yang tidak selari itu lumrah, namun persoalannya, pihak terlibat dilihat berani menentang Perdana Menteri, bukan sahaja isu Dr Zakir, malah beberapa isu seperti tulisan khat dan jawi.

Semalam, polis membuka kertas siasatan terhadap Dr Zakir mengikut Seksyen 504 kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan negara.