Pas bidas sikap pemimpin DAP: Abdul Hadi

Orang ramai yang menghadiri kuliah Dhuha beratur untuk bersalam dengan Abdul Hadi di luar Masjid Rusila hari ini.
Orang ramai yang menghadiri kuliah Dhuha beratur untuk bersalam dengan Abdul Hadi di luar Masjid Rusila hari ini.
A
A
A

MARANG - Pas membidas sikap pemimpin DAP yang dilihat sengaja menggunakan sentimen perkauman untuk menutup kegagalan mereka menguruskan negara termasuklah dalam isu Dr Zakir Naik.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengecam sebuah portal didakwanya cuba membantu pemimpin parti berkenaan menyemarakkan lagi isu perkauman di negara ini.

"Siapa (memainkan isu) perkauman? DAP yang memainkan isu perkauman. Ya, sebagai nak tutup (kegagalan mereka dalam menguruskan negara), sementara rakyat (kena) pekalah.

"Mereka termasuk surat khabar mereka, yang memainkan peranan untuk membantu," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.

Ketika ditanya adakah pemimpin terbabit perlu memberi tumpuan kepada pembangunan negara berbanding menyemarakkan lagi isu perkauman ini, katanya, persoalan itu perlu diajukan kepada mereka.

"Itu kena tanya mereka (pemimpin terlibat) sama ada mereka sedar atau tidak," kata Ahli Parlimen Marang itu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Kabinet perlu dirombak jika keadaan ini berterusan yang dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan kaum, tegas Abdul Hadi, perkara itu adalah di luar bidang kuasanya.

Dalam isu Dr Zakir, bukan sahaja pemimpin bukan Islam malah pemimpin beragama Islam dalam kerajaan turut menghangatkan suasana mutakhir ini dengan menuduh pendakwah itu memperlekehkan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi bagaimanapun tegas menyokong keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat keputusan agar Dr Zakir tidak dihantar pulang kerana bimbang pendakwah itu akan dibunuh.

Katanya, ia bukan keputusan peribadi seorang Perdana Menteri, kerana lebih sejuta ahli Pas juga umat Islam daripada pelbagai parti dan organisasi bukan kerajaan tidak mengizinkan Dr Zakir dibiarkan sahaja.

"Saya tegaskan bahawa isu Dr Zakir jangan sampai melanggar lampu isyarat berwarna merah. Hanya orang Islam yang munafik sahaja atau imannya berpenyakit atau hilangnya kemanisan iman di dalam diri, sehingga menjadi laksana orang yang tidak kenal lampu isyarat merah dan hijau," katanya.

Hari ini pemimpin tertinggi Pas itu sekali lagi menegaskan bahawa mempertahankan Dr Zakir adalah wajib bagi kerajaan Malaysia memandangkan negara ini adalah sebuah negara Islam.

"Wajib, bukan pendirian itu, akidah kita kerajaan kita," katanya.