'Negara boleh dijajah lagi jika lalai'

Mohammed Fadzli menyampaikan bendera jalur gemilang kepada wakil-wakil yang terlibat.
Mohammed Fadzli menyampaikan bendera jalur gemilang kepada wakil-wakil yang terlibat.
A
A
A

KOTA BHARU - Masyarakat yang lalai untuk mengenal erti kemerdekaan boleh mengakibatkan negara kembali dijajah dalam bentuk ideologi dan ekonomi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam teks ucapan dibaca Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda.

“Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda, kemerdekaan fizikal semata-mata tiada ada guna. Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan ALLAH yang bukan semua manusia dapat merasainya.

“Tetapi kini masih ramai yang belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan.

“Kita bukan sahaja berdepan dengan golongan yang lupakan makna kemerdekaan, tetapi juga mereka yang lalai mengenai hakikat menjadi seorang negarawan yang baik.” katanya.

Fadzli yang mewakili Ahmad Yakob hadir pada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 peringkat Kelantan kali ke-62 bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih' di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Mohammed Fadzli (dua dari kiri) semasa merasmikan pelepasan konvoi di RTC di sini hari ini.
Mohammed Fadzli (dua dari kiri) semasa merasmikan pelepasan konvoi di RTC di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019, Mohd Roffee Mohamad, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Amir Zakri Mahmad Mahyidin dan Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Kelantan, Lim Ann Teck.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammed Fadzli ketika sidang media berkata, semua pihak perlu ambil peranan bagi mewujudkan kesedaran kepada masyarakat untuk kembali menghayati kemerdekaan.

“Kita sedar dulu kalau bulan merdeka, banyak kenderaan yang kibar jalur gemilang, tapi sekarang semakin kurang. Saya rasa ia bermula dari situlah, kita kena tanamkan kembali semangat patriotik dan kibarkan jalur gemilang pada seluruh masyarakat.

“Kerajaan juga sarankan semua jabatan kerajaan lakukan benda sama dengan rasa kecintaan kepada negara dan menganjurkan program bersifat patriotik,” katanya.

Kembara Merdeka Jalur gemilang memasuki edisi ke-17 penganjuran tahun ini melibatkan 62 kenderaan iaitu 17 pacuan pelbagai agensi kerajaan dan 45 motosikal berkuasa tinggi dengan 133 peserta.

Konvoi ke seluruh negara itu membabitkan laluan sejauh 6,200 kilometer merangkumi 62 perhentian di peringkat negeri, daerah dan komuniti termasuk Sabah, Sarawak serta Labuan.