Harapan dan azam 2019

A
A

MINGGU ini adalah yang terakhir sebelum tahun 2018 melabuhkan tirainya.

Tahun 2019 pula sedang mengintai dengan penuh harapan dan dugaan.

Azam dan iltizam memenuhi gerak hati kebanyakan insan yang berikrar memperbaiki diri.

Kemunculan tahun baharu ini seharusnya menjadi pemangkin minda kita memikirkan apakah yang telah berlaku sepanjang tahun dan bagaimanakah pula kita akan menghadapi tahun baharu nanti.

Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiadalah gunanya tahun berlalu tanpa apa-apa manfaat yang kita peroleh. Tiadalah manfaatnya tahun berlalu tanpa kita perbaikinya untuk masa-masa akan datang.

Jika kita soroti apa yang telah berlaku sepanjang tahun, tentu banyak perkara yang terpahat di minda kita.

Dari sudut perundangan Islam pula, sudah tentu kalendar 2018 diwarnai dengan pelbagai persepsi yang positif dan negatif.

Perkara utama yang berlaku pada 9 Mei 2018 ialah kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14. Keputusan PRU tersebut pula bukanlah penghujung babak-babak politik negara tetapi permulaan kepada lebih banyak kekusutan yang belum terlerai sama ada di peringkat kerajaan mahupun pembangkang.

Kemelut pasca PRU sama ada yang bersifat real ataupun sengaja diadakan pihak tertentu menimbulkan persepsi yang pelbagai dalam kalangan rakyat.

Semoga tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun kesatuan NGO Islam telah disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO-NGO Islam.

Melihat kepada cabaran-cabaran yang akan dihadapi kelak, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baharu.

Tahun baharu mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baharu dengan pesta-pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya bangsa dan agama.

Bagi anak-anak yang mula melangkah ke alam persekolahan tentulah tahun hadapan menjanjikan kelainan. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan.

Begitu juga bagi pelajar lain yang telah bercuti lebih dari sebulan akan memasuki semula sekolah masing-masing. Rutin harian persekolahan akan kembali mewarnai hari-hari persekolahan.

Saya juga mengharapkan perpecahan dalam kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula akan dapat ditingkatkan di samping saling menghormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.

Kedudukan istimewa agama Islam sebagai Agama Persekutuan perlu direalisasikan dan dalam masa sama agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Apa yang penting ialah kita menelusuri sejarah dan berpegang dengannya. Jika tidak kerana penjajahan sudah tentu undang-undang Islam sudah diamalkan dengan meluas sekali.

Dalam masa sama umat Islam hendaklah jangan sesekali mengherdik agama orang lain sebagaimana kita sendiri tidak mahu agama kita diherdik.

Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi tahun baharu dalam era Malaysia Baharu. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada tahun hadapan.

Berbeza pandangan dalam perkara furu' adalah lumrah dan janganlah begitu terpesona dan taasub dengan sesuatu pandangan hingga tidak boleh berlapang dada menerima teguran orang lain.

Perjuangan tidak boleh berhenti. Perjuangan memerlukan pengorbanan. Perjuangan masih belum sampai ke noktah. Oleh itu setiap umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing bagi menegakkan syiar Islam.

Jika kita ingin melihat Islam dimartabatkan, sudah pasti kita harus menjalankan tanggungjawab kita tanpa mengira kedudukan. Setiap orang penting dan perlu menggalas tanggungjawab masing-masing. Besar atau kecil ALLAH yang menentukannya.

Walaupun tahun 2018 telah menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran serta perpaduan masyarakat, tahun 2019 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang sedang berlaku.

Untuk itu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja.

Moga tahun baharu ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa

.* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.