Pengarah syarikat perumahan didakwa kali ketiga

Kok Kheong didakwa buat kali ketiga atas pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Kok Kheong didakwa buat kali ketiga atas pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan didakwa buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan pecah amanah dengan tidak mengembalikan wang lebihan pembelian sebuah rumah kedai berjumlah RM150,000.

Tertuduh, Chang Kok Kheong, 60, yang merupakan Pengarah Syarikat Energizer Properties Sdn Bhd mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Tertuduh didakwa pecah amanah dengan curangnya tidak mengembalikan wang lebihan dalam urusan pembelian sebuah rumah kedai tiga tingkat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini antara 24 Julai 2014 hingga 11 Disember 2017.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebar dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kok Kheong yang diwakili peguam Jagdave Singh merayu jumlah jaminan ringan diberikan kerana telah membayar jaminan keseluruhan RM35,000 bagi beberapa pertuduhan dihadapinya sebelum ini.

Julie Lack kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September ini bagi sebutan semula kes.

Pada 4 April lalu, Kok Kheong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menyalah guna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai oleh dua pembeli membabitkan kerugian RM100,000 lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia sekali lagi didakwa pada 5 Julai lalu di Mahkamah Majistret Ipoh dengan tiga pertuduhan menipu membabitkan pembayaran deposit pembinaan kondominium pelajar yang tidak wujud mengakibatkan kerugian RM300,000 pada 2012.