Kedutaan Ireland sedia bantu keluarga tuntut mayat Nora Anne

Dr Wan Azizah (tengah) pada sidang media selepas hadir bagi mendengar taklimat ringkas mengenai kes kematian seorang remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, di Balai Polis Pantai, hari ini. - Foto: BERNAMA
Dr Wan Azizah (tengah) pada sidang media selepas hadir bagi mendengar taklimat ringkas mengenai kes kematian seorang remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, di Balai Polis Pantai, hari ini. - Foto: BERNAMA
A
A
A

SEREMBAN - Kedutaan Ireland bersedia membantu keluarga Nora Anne Quoirin dalam memudahkan tuntutan mayat remaja tersebut yang kini masih berada di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan berharap semuanya berjalan lancar.

"Saya telah diberi taklimat mengenai tragedi yang berlaku terhadap Nora Anne Quoirin, dan berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan pasukan SAR kita dalam usaha mencari mangsa yang hilang ini.

"Kedutaan Ireland memaklumkan mereka sedia membantu untuk proses dokumentasi tuntutan mayat Nora Anne dan kita harap semuanya berjalan lancar.

"Siasatan selanjutnya (jika ada) akan diserahkan kepada pihak polis," katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Balai Polis Pantai sebelum bertemu keluarga Nora Anne di resort The Dusun, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada Kedutaan Ireland ada memaklumkan bila mayat Nora Anne akan dituntut keluarga untuk dibawa pulang ke Ireland.

Dalam pada itu, Wan Azizah meluangkan masa kira-kira 15 minit bertemu keluarga Nora Anne yang masih menginap di resort The Dusun, Jalan Pantai Seremban pada jam 11.15 pagi.

Sementara itu, Wan Azizah ketika ditanya mengenai perjumpaan beliau bersama keluarga Nora Anne, menegaskan tidak boleh membuat sebarang kenyataan bagi menghormati privasi keluarga mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak boleh beri sebarang kenyataan, kita perlu hormati privasi keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan SAR yang bekerja keras mencari dan menyelamat gadis Ireland itu yang kemudiannya ditemui pada hari ke-10.

Semalam, Mohamad dalam sidang media mengesahkan Nora Anne meninggal dunia disebabkan kebocoran usus akibat ketiadaan makanan dalam tempoh lama dan stres berpanjangan.

Mohamad berkata, hasil bedah siasat mendapati remaja malang itu telah meninggal dunia dua atau tiga hari sebelum mayatnya dijumpai pada Selasa, 13 Ogos lalu di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort berkenaan, selepas 10 hari dia dilaporkan hilang dari bilik penginapannya.