Kelewatan PKR beri senarai ahli majlis tak jejas gerak kerja

Paul Yong melakukan gimik perasmian program Kibar Jalur Gemilang dengan memasang bendera pada kenderaan rasmi Datuk Bandar Ipoh di sini hari ini.
Paul Yong melakukan gimik perasmian program Kibar Jalur Gemilang dengan memasang bendera pada kenderaan rasmi Datuk Bandar Ipoh di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kelewatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam memberikan senarai nama bagi lantikan ahli majlis tidak menjejaskan gerak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong berkata, proses lantikan dan angkat sumpah itu boleh dilakukan sedikit lewat berbanding yang lain sebaik ia dimuktamadkan pihak parti.

Menurutnya, selaku Exco bertanggungjawab, pihaknya hanya menerima senarai nama bagi kuota empat parti kerajaan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri untuk mendapat sokongan.

"Dalam hal ini (PKR), mungkin mereka ada hadapi masalah sendiri walaupun lewat ia sama sekali tidak menjejaskan yang lain kerana sudah ada ketetapan kuota untuk mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR masih belum beri senarai nama ahli majlis: Exco

"Kita akan sokong sebaik terima senarai daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah dan menerima jawatan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung itu menyaksikan 18 orang terdiri 10 wakil DAP, Bersatu (4) dan Amanah (4) mengangkat sumpah selaku ahli majlis MBI bagi sesi 2019-2021 di hadapan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Enam lagi kuota ahli majlis itu yang belum dipenuhi adalah empat bagi PKR dan dua yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain MBI, PKR turut belum menyerahkan nama lantikan ahli majlis di Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Daerah Kerian dan Majlis Daerah Selama.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Paul Yong dalam ucapannya berkata, PBT sering menjadi tumpuan masyarakat awam dalam menuntut perkhidmatan baik di kawasan penempatan masing-masing.

Katanya, selain media masa, media sosial turut dijadikan sebagai medium penyampaian berkaitan pelbagai isu setempat sekali gus memberikan lebih banyak cabaran kepada PBT dalam melayani tuntutan masyarakat awam.

"Jadi saya minta ahli majlis yang dilantik dan pihak pengurusan MBI agar sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menangani cabaran-cabaran dan tuntutan sosial dari masa ke semasa.

"Kerjasama PBT khususnya MBI dengan jabatan serta agensi lain juga penting dalam melaksanakan tugas-tugas dan fungsi majlis dengan lebih berkesan seterusnya dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat," katanya.

Dalam majlis itu, Paul Yong turut melancarkan program Kibar Jalur Gemilang peringkat MBI yang bakal menyaksikan sebanyak 1,050 bendera dan 2,330 gegantung Jalur Gemilang dipasang di sekitar bandar Ipoh termasuk di bangunan dan premis perniagaan.