'Spiderman Perancis' curi tumpuan di Hong Kong

'Spiderman Perancis' memasang 'sepanduk keamanan' di bangunan Pusat Cheung Kong di Hong Kong, hari ini. - Foto AFP
'Spiderman Perancis' memasang 'sepanduk keamanan' di bangunan Pusat Cheung Kong di Hong Kong, hari ini. - Foto AFP
A
A
A

HONG KONG - Alain Robert atau lebih dikenali sebagai 'Spiderman Perancis' sekali lagi mencuri tumpuan apabila memanjat sebuah bangunan pencakar langit di Hong Kong sambil membawa 'sepanduk keamanan'.

Lelaki berusia 57 tahun yang terkenal dengan kepakarannya memanjat bangunan tinggi itu, dilaporkan memanjat bangunan Pusat Cheung Kong setinggi 68 tingkat dalam keadaan cuaca panas awal pagi ini.

Ketika aksi memanjat itu, Robert turut memasang sepanduk memaparkan bendera Hong Kong dan China serta sepasang tangan berjabat salam.

Robert berkata, mesej di sebalik aksinya itu merupakan satu permohonan agar rakyat Hong Kong dan pihak kerajaan berdamai.

"Mungkin saya boleh menurunkan suhu (ketegangan) dan menaikkan senyuman. Itulah harapan saya," kata Robert.

Namun, ramai yang tidak berasa kagum dengan tindakan 'Spiderman Perancis' itu.

"Hal ini menunjukkan ramai orang asing tidak memahami isu sebenar antara Hong Kong dan China," tulis seorang pengguna di laman forum terkenal.

Hong Kong kini dibelenggu protes ganas selama berminggu-minggu susulan protes yang pada awalnya bertujuan membantah rang undang-undang ekstradisi ke China, ia kemudian bertukar kepada gesaan besar-besaran menuntut hak demokrasi. - AFP

Artikel Berkaitan: