UNSC bincang isu Kashmir dalam mesyuarat tertutup

Pergolakan Kashmir antara isu jadi tumpuan masyarakat dunia. - Foto AFP
Pergolakan Kashmir antara isu jadi tumpuan masyarakat dunia. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dilaporkan mengadakan mesyuarat khas secara tertutup berhubung isu Kashmir selepas India menghapuskan status khas wilayah berkenaan sekali gus mencetuskan pertempuran dengan Pakistan, kata diplomat kepada AFP.

Mesyuarat yang dijadual berlangsung hari ini bagaimanapun tidak dianggap sebagai mesyuarat keselamatan penuh, sebaliknya ia lebih kepada perbincangan tertutup.

Amat jarang bagi UNSC mengadakan mesyuarat penuh berhubung wilayah Kashmir yang terbahagi antara India dan Pakistan sejak mendapat kemerdekaan dari Britain pada tahun 1947.

Kali terakhir UNSC mengadakan mesyuarat seumpama itu ialah pada tahun 1965.

Sebahagian wilayah Kashmir ditadbir India dikenakan perintah berkurung sejak 4 Ogos lalu dan rangkaian telekomunikasi termasuk internet turut diputuskan.

Sehari kemudian, New Delhi menerusi Dekri Presiden memansuhkan Artikel 370 dalam Perlembagaan yang memberikan status autonomi khas kepada wilayah terbabit.

Dalam ucapan sempena Hari Kemerdekaan India semalam, Perdana Menteri Narendra Modi berkata, keputusan pemansuhan tersebut merupakan satu langkah tepat.

Modi menambah, 'pemikiran baharu' diperlukan selepas kegagalan selama tujuh dekad memastikan keharmonian di wilayah Kashmir di mana puluhan ribu nyawa telah terkorban dalam tempoh 30 tahun. - AFP

Artikel Berkaitan: