Wang RM58,000 milik penjaga stor lesap diperdaya 'pegawai polis'

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjaga stor berputih mata apabila wang berjumlah RM58,000 dari dua akaun banknya lesap selepas terpedaya dengan helah sindiket itu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 51 tahun dari daerah ini dihubungi seorang individu menyamar sebagai pegawai mahkamah Terengganu memaklumkan dia dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Menurutnya, seperti biasa panggilan disambung kepada seorang pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk diambil keterangan.

“Mangsa ditakutkan dengan hukuman yang bakal dihadapi jika sabit kesalahan sebelum pegawai polis itu menawarkan bantuan untuk membebaskan mangsa dari tuduhan tersebut.

“Bagi tujuan itu, mangsa diarahkan supaya menyerahkan semua maklumat banknya untuk tindakan lanjut dan dia akur apabila menyerahkan segala maklumat diminta semata-mata mengelak dikenakan hukuman berat atas kesalahan tidak dilakukan itu," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas menyerahkan maklumat dikehendaki, mangsa mendapati wang dalam dua akaun bank itu dengan jumlah keseluruhan RM58,000 lesap selepas dipindahkan pihak lain tanpa pengetahuannya.

“Mangsa syak telah ditipu dua individu yang menghubunginya sebelum ini lalu tampil membuat laporan polis, semalam.

“Susulan itu mangsa telah membuat laporan polis dan kita buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita sedang mengesan seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: