Pekerja kilang rugi RM20,000 ditipu 'inspektor'

Noorzainy
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pekerja kilang berputih mata selepas mengalami kerugian RM20,000 akibat ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai inspektor melalui penipuan dalam telefon.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian semalam, wanita berusia 51 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Selepas bercakap dengan mangsa, panggilan tersebut kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Seremban, Negeri Sembilan yang mana seorang lelaki lain telah memperkenalkan diri sebagai inspektor Rosli dan mendakwa dia adalah pegawai penyiasat bagi kes berkenaan.

"Lelaki itu turut memberitahu mangsa bahawa salah seorang suspek yang bersubahat dengannya dalam kes dadah telah ditahan dan kes masih dalam siasatan.

"Mangsa diminta memberi kerjasama dan tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan mangsa adalah suspek dalam kes tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Noorzainy berkata, suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam sebuah akaun bank sebagai wang memproses siasatan dan keselamatan mangsa.

"Mangsa yang bimbang dan takut selepas dimaklumkan tentang perkara itu telah membuat pindahan wang melalui kaunter bank dengan mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disimpannya sejak setahun lepas, lalu memasukkan ke sebuah akaun bank seperti yang diarahkan lelaki tersebut.

"Mangsa hanya melakukan satu transaksi ke dalam sebuah akaun bank berjumlah RM20,000 sebelum menyedari dirinya telah terperangkap dengan sindiket penipuan melalui telefon. Dia kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang kakitangan awam di sebuah jabatan kerajaan turut mengalami kerugian sebanyak RM4,700 dipercayai terpedaya dengan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

Noorzainy berkata, wanita berusia 35 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri daripada pegawai polis dan mendakwa dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

"Dalam kes ini, panggilan yang diterima mangsa kononnya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kuantan, Pahang dan bercakap dengan anggota polis yang memperkenalkan diri sebagai inspektor Nordin.

"Skrip yang digunakan sindiket ini sama dengan kes yang pertama iaitu mangsa didakwa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan salah seorang suspek yang terlibat dengan telah ditahan.

“Lelaki itu memberitahu mangsa kes tersebut masih dalam siasatan dan meminta agar mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa selain memberi kerjasama. Suspek juga meminta wang dari mangsa kononnya untuk memproses siasatan yang mana, wang tersebut akan dipindahkan kepada Juru Audit Negara," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang terlalu takut dan tidak berfikir panjang terus membuat pemindahan wang melalui internet dari akaun simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan suspek.

"Mangsa melakukan sekali transaksi ke dalam sebuah akaun bank berjumlah RM4,700. Yakin dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia