Dua pengawal keselamatan didakwa halang tugas pegawai polis

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas dan menggunakan kekerasan terhadap pegawai polis dan pasukannya semasa menjalankan pemeriksaan terhadap mereka, pada Selasa.

Yahaya Awang, 49, dan Muhamad Shazwan Ishak, 31, masing-masing didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai polis, Inspektor Thiruchelvan Esayi Krishnan dan pasukan polis semasa menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam berdekatan Jalan Pasar, di sini pada jam 4.30 petang, 13 Ogos lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menghalang pegawai polis dan pasukannya itu dengan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan sehingga terpaksa ditangkap pihak polis di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazri Abdul Rahim menawarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh, bagaimanapun Yahaya dan Muhamad Shazwan yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah.

Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: