Puluhan remaja AS terkena jangkitan paru-paru akibat vape

Puluhan orang terutamanya remaja di Amerika Syarikat dimasukkan ke hospital akibat kecederaan paru-paru sejak beberapa minggu lalu selepas menghisap vape. - Gambar hiasan
Puluhan orang terutamanya remaja di Amerika Syarikat dimasukkan ke hospital akibat kecederaan paru-paru sejak beberapa minggu lalu selepas menghisap vape. - Gambar hiasan
A
A
A

WASHINGTON - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyiasat kes puluhan orang terutamanya remaja dimasukkan ke hospital akibat kecederaan paru-paru sejak beberapa minggu lalu selepas menghisap vape, namun punca sebenar masih kekal misteri.

Jabatan Kesihatan Illinois, Minnesota dan Wisconsin telah mengeluarkan kenyataan menghuraikan kes melibatkan pesakit yang mengalami masalah sukar bernafas, pening dan kelesuan, iaitu simptom yang menyebabkan mereka dimasukkan ke hospital.

Pihak berkuasa perubatan di tiga negeri berkenaan melaporkan sekurang-kurangnya 30 kes disahkan manakala 22 kes lagi masih dalam siasatan dan kini bekerjasama dengan Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit untuk siasatan lanjut.

Ramai dalam kalangan mereka terlibat menggunakan produk vape ganja.

Media AS turut melaporkan kes yang sama di beberapa negeri.

Pakar epidemiologi Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Wisconsin, Thomas Haupt berkata, pihaknya dalam proses untuk menemubual semua pesakit terlibat bagi mencari titik persamaan.

“Buat masa ini, hanya vape yang menunjukkan persamaan, namun kami cuba untuk membuka jaringan lebih luas bagi memastikan kita tidak terlepas sesuatu," katanya.

Penemuan itu membingungkan pakar, kerana rokok elektronik telah wujud di AS sejak tahun 2006 dan penyelidikan saintifik setakat ini menunjukkan ia mungkin alternatif yang kurang toksik untuk merokok.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 3.6 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi menggunakan produk-produk vape pada tahun 2018, peningkatan sebanyak 1.5 juta pada tahun sebelumnya, menurut laporan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). – AFP