MDKpr tangkap haiwan ternakan berkeliaran

Khairul Amir dan Sandrea Ng ketika meninjau haiwan ternakan berkeliaran yang ditangkap dalam satu operasi di DUN Teja, minggu lalu.
Khairul Amir dan Sandrea Ng ketika meninjau haiwan ternakan berkeliaran yang ditangkap dalam satu operasi di DUN Teja, minggu lalu.
A
A
A

KAMPAR - Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menangkap 14 haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran hingga membahayakan keselamatan penduduk bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Yang Dipertuanya, Khairul Amir Mohammad Zubir berkata, tangkapan tujuh ekor kerbau, lembu (6) dan kambing (1) itu melibatkan keseluruhan tuntutan dan kutipan kompaun berjumlah RM30,200.

Menurutnya, penguatkuasaan berkenaan dilakukan memandangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima aduan tinggi dan berulang berhubung kacau ganggu haiwan ternakan di kawasan kediaman dan jalan raya.

"Kesan haiwan ternakan berkeliaran ini bukan sahaja merosakkan tanaman tetapi juga menyebabkan kemalangan.

"Jadi kita mengharapkan dengan tangkapan ini, semua pengusaha ternakan memahami serta mematuhi undang-undang agar tidak sewenangnya membiarkan haiwan peliharaan mereka.

"Bukanlah nilai (kompaun) yang kita perlukan untuk dijadikan hasil majlis, tetapi demi memastikan penduduk rasa selesa dan tenteram," katanya.

Khairul Amir dan Sandrea Ng bersama sebahagian yang terlibat dalam operasi menangkap haiwan ternakan berkeliaran.
Khairul Amir dan Sandrea Ng bersama sebahagian yang terlibat dalam operasi menangkap haiwan ternakan berkeliaran.

Terdahulu beliau meninjau lima haiwan ternakan yang berjaya ditangkap Bahagian Penguatkuasa MDKpr dalam satu operasi minggu lalu di tiga lokasi berasingan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja.

Artikel Berkaitan:

Tangkapan lima kerbau di kawasan Lawan Kuda, Kopisan Baru dan hadapan Kolej Matrikulasi Perak itu membabitkan jumlah keseluruhan kompaun hampir RM12,000.

Khairul Amir berkata, sekiranya haiwan ternakan yang disita itu tidak dituntut penternak dalam tempoh tiga hari, ia akan dilelong kepada orang ramai.

"Tindakan penguatkuasaan ini berdasarkan peruntukan Undang-undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau Majlis Daerah Kampar 2012," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching berkata, terdapat 27 penternak dengan jumlah ternakan dianggarkan 2,216 ekor terdiri daripada lembu, kerbau, kambing dan kambing biri-biri direkodkan di bawah Mukim Teja.

Katanya, antara cadangan diberikan untuk penyelesaian jangka panjang isu berkenaan adalah menawarkan sewaan padang ragut.

"Cumanya kita kesal apabila masih ada penternak tidak boleh menerima cadangan itu, kita harap masih ada jalan penyelesaian lain.

"Adalah tidak adil membiarkan penduduk menanggung risiko demi keuntungan perniagaan ternakan mereka," katanya.