Jangan gelojoh desak Tun M berundur

Rina ketika diwawancara Sinar Harian. - Foto: Asril Aswandi Shukor
Rina ketika diwawancara Sinar Harian. - Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

PUTRAJAYA - Pimpinan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak bersikap gelojoh mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berundur daripada jawatannya lebih awal.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Dr Mahathir perlu diberi sokongan untuk menyelesaikan tugas-tugasnya memimpin negara.

Rina berkata, Dr Mahathir juga perlu diberi ruang untuk memberikan fokus terhadap pentadbiran negara sebelum jawatan tersebut diserahkan kepada orang lain.“Saya nak cakap kepada (pemimpin PH) yang lain, fokus kita

sekarang adalah rakyat. Jadi janganlah gelojoh untuk mendesak Dr Mahathir berundur.

“Kalau kepentingan kita adalah untuk rakyat, biar Dr Mahathir fokus terajui kerajaan. Beri beliau sokongan penuh kerana kita ada banyak lagi isu rakyat yang belum diselesaikan,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di pejabatnya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim agar Dr Mahathir berundur kerana mendakwa Perdana Menteri seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Hassan ada udang di sebalik batu

Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu berkata, pimpinan PH perlu mengenang kembali jasa Dr Mahathir yang membantu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Artikel Berkaitan:

“Kita pertama kali menang dengan nama PH. Sebab apa? Rata-rata cakap sebab faktor Dr Mahathir. Kalau tanpa Dr Mahathir kita boleh menangkah? Jadi janganlah lupa (jasa-jasa beliau),” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, pemimpin PH perlu mengelakkan sebarang perselisihan pendapat secara terbuka kerana tindakan itu hanya akan menjejaskan imej kerajaan di mata rakyat.

”Sebagai anggota kerajaan termasuk wakil rakyat, kalau nak kritik kena ikut saluran tertentu. Apabila rakyat melihat pemimpin memberikan kritikan secara terbuka bagi saya ia kurang manis.

“Kita kena dilihat bersama dan bersatu. Segala isu dalaman itu boleh dibincangkan dan kita pun ada mesyuarat Majlis Presiden PH setiap bulan,” katanya.