Buaya sambar budak 10 tahun

Sungai di Balabac terkenal dengan serangan buaya air masin sejak beberapa tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A

PALAWAN - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun maut selepas diserang seekor buaya air masin dalam kejadian di pulau Palawan di selatan Filipina, kata pihak berkuasa kelmarin.

Kejadian mengerikan itu berlaku ketika mangsa dan dua abangnya berada di atas sebuah bot berhampiran pekan Balabac.

Sungai di Balabac terkenal dengan serangan reptilia itu sejak beberapa tahun lalu.

Mangsa ditarik buaya berkenaan di hadapan adik-beradiknya yang ketakutan.

"Bapa mangsa gagal menemui jasad anaknya selepas melakukan pencarian sepanjang malam.

"Tidak lama selepas itu, mayat mangsa berjaya ditemui oleh nelayan pada pagi Isnin.

"Mayat dalam keadaan tidak sempurna ditemukan berhampiran kawasan paya bakau," kata polis.

Pada Februari lalu, satu lagi kes serangan buaya dilaporkan di Balabac apabila seorang budak lelaki berusia 12 tahun dibaham ketika sedang berenang.

Mangsa bagaimanapun terselamat selepas berjaya menyelamatkan diri daripada cengkaman buaya berkenaan.

Awal tahun lalu, seorang nelayan maut diserang buaya ketika sedang menjala ikan.

Kejadian itu berlaku tiga bulan selepas anak saudara perempuannya disambar buaya ketika sedang mengambil air di kawasan hutan tebal pulau itu.

Mayat mangsa tidak pernah ditemui sehingga hari ini. - AFP