Jemaah haji sangkut salah siapa?

Gambar hiasan
A
A

BARU-baru ini kecoh apabila 26 jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah gara-gara visa haji Furada didakwa palsu.

Menurut jemaah, mereka membayar antara RM30,000 hingga RM50,000 untuk mendapatkan visa tersebut, namun malangnya impian untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu berkecai apabila gagal melepasi Imigresen Arab Saudi akibat nama mereka tiada dalam senarai yang menerima visa berkenaan.

Kata jemaah, bila pasport diimbas di kaunter imigresen negara itu, keluar di skrin muka orang lain.

Ada muka bertukar jadi milik orang Indonesia, Nigeria dan warganegara lain, malah maklumat peribadi yang terpapar juga berbeza. Berikutan itu, mereka tidak dibenarkan memasuki Arab Saudi dan terpaksa dihantar pulang ke tanah air.

Selain 26 jemaah yang terkandas di Jeddah, dilaporkan 36 lagi jemaah turut menerima nasib sama apabila terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat tidak mendapat tiket penerbangan dan visa haji.

Lebih malang, ada antara mereka ini yang sanggup membayar caj tambahan untuk mendapat kuota visa Furada bagi menunaikan haji pada tahun ini.

Disebabkan hati yang memang ingin sangat menunaikan haji, dia terus membayar kepada syarikat tersebut tanpa berfikir panjang.

Namun apa yang berlaku selepas itu sangat mengecewakannya. Bukan sedikit wang yang dikeluarkan, bahkan semua persiapan telah dibuat namun impian menunaikan haji masih tidak kesampaian.

Timbul persoalan mengapa perkara sedemikian berlaku sedangkan syarikat pelancongan yang menguruskan jemaah haji berkenaan mempunyai 12 tahun pengalaman dalam pengurusan jemaah haji.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Pengarah Pusat Perunding Haji Furada, Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata, maklumat yang diterima mendapati terdapat ‘ulat haji Furada’ yang berjaya meyakinkan pihak agensi pelancongan tertentu bahawa mereka ‘orang dalam’ dan boleh mendapat visa Furada.

“Isu itu berlaku apabila ulat visa menjanjikan kelulusan visa Furada kepada agensi pelancongan tetapi gagal mengotakan janji. Sebab itu banyak kes penipuan berlaku sehingga ada yang edit kertas visa sedangkan dalam sistem tiada nama,” katanya.

Justeru, bakal jemaah haji yang ditawarkan visa Furada disaran menyemak kesahihan visa mereka bagi mengelakkan ditipu dan semakan boleh dibuat melalui sistem dalam talian milik Kementerian Luar Arab Saudi dengan hanya menggunakan pasport.

Insiden jemaah haji terkandas itu sebenarnya membuka mata rakyat Malaysia mengenai kuota visa Furada kerana penulis yakin ramai yang tidak tahu mengenainya sehingga ada yang menyalahkan Lembaga Tabung Haji (TH) sedangkan ia bukan di bawah tanggungjawab mereka. Visa Furada diuruskan oleh agensi pelancongan umrah serta individu bersama Kedutaan Arab Saudi.

Visa Furada adalah visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi dan tidak membabitkan kuota haji sesebuah negara.

Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.

Namun, masih ada pihak yang menuding jari menuduh kerajaan Malaysia gagal mendapatkan kuota haji tambahan hingga menyebabkan jemaah kita terkandas. Hakikatnya kuota visa Furada dengan kuota haji tambahan diterima kerajaan adalah dua perkara berbeza yang langsung tiada kaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan segelintir pihak mengaitkan dua perkara berkenaan dalam isu membabitkan 26 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz akibat masalah visa adalah satu kekeliruan berbahaya dan boleh menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara terbabit.

Tidak perlulah kita menuding jari mencari salah siapa kerana masing-masing mempunyai pilihan. Jika berani tanggung risiko dan mampu, boleh sahaja memilih mengerjakan haji dengan visa Furada sebaliknya jika ingin tempat yang lebih terjamin walaupun lambat pilih sahaja saluran selamat seperti TH.