Op Gading atasi masalah tanah di Cameron Highlands

Wan Azizah Wan Ismail
A
A

KUALA LUMPUR - Op Gading bagi mengatasi masalah tanah yang diteroka secara berleluasa dan tarahan bukit di luar kawalan iaitu faktor utama kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands akan ditukar kepada Ops Lestari, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, keputusan itu merupakan cerminan kepada hasrat kerajaan untuk membantu pekebun kecil di kawasan itu dengan pelaksanaan Op Gading fasa seterusnya akan menggunakan kaedah dan strategi pelbagai serta inklusif termasuk pengukuhan kebajikan dan kesejahteraan pekebun kecil.

“Saya juga difahamkan operasi Op Gading ini turut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan sesetengah pihak yang terlibat, khususnya pekebun kecil yang telah mengusahakan tanah secara turun-temurun sebagai punca pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Wan Azizah berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands /2018 yang dipengerusikan beliau dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Op Gading dilaksanakan dari 2015 hingga 2018 namun Op Gading IV yang bermula pada 1 Jan lalu telah ditangguhkan sementara dari Mei hingga Oktober lepas.

Bagaimanapun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu mesyuarat pada 5 Okt lepas bersetuju agar Op Gading IV diteruskan.

Wan Azizah berkata, strategi yang disusun penting kerana Cameron Highlands ialah penyumbang utama kepada kemampanan sektor pertanian negara dan jaminan makanan negara (bekalan).

“Oleh itu, kita perlu memastikan alam sekitar dipelihara dan kebajikan pekebun kecil dan Orang Asli dijaga.

Keselamatan perkampungan Orang Asli di kawasan curam mesti diberi perhatian khusus di samping kesejahteraan masyarakat Orang Asli yang menjadi sebahagian daripada komuniti penting di Cameron Highlands,” katanya.

Beliau juga berhasrat untuk melihat sendiri keadaan di Cameron Highlands dalam masa terdekat.

Katanya, mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Julai 2019 bagi menilai semula laporan pelaksanaan Op Gading oleh kerajaan negeri mengenai perkara yang telah disebutkan dan menentukan hala tuju Op Gading akan datang.

Pada masa sama beliau mahu Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands mengatasi masalah pencerobohan tanah kerajaan, rizab sungai dan rizab jalan dengan melaksanakan penguatkuasaan menerusi platform sedia ada.

Beliau berkata, pihak terbabit boleh melaksanakan penguatkuasaan tersebut di peringkat negeri, daerah dan badan bukan kerajaan membabitkan persatuan-persatuan pekebun sebagai usaha mengatasi masalah pencerobohan tanah kerajaan.

Wan Azizah berkata mesyuarat hari ini juga bersetuju agar proses pelesenan sementara untuk petani yang layak dipercepat selain Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands atau pihak berkuasa tempatan memberi jaminan penginapan kepada Pasukan Gerakan Am selama operasi berjalan.

"Mesyuarat hari ini telah bersetuju dan menggesa agar Badan Kawal Selia Air (BKSA) Pahang untuk menyegerakan urusan penetapan spesifikasi pembinaan kolam air takungan pertanian di Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata selain itu semua agensi yang terlibat mesti meneruskan kerjasama strategik demi memastikan kelestarian persekitaran dan kehidupan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia