Sub kontraktor rugi RM108,000 kereta dipecah

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang sub kontraktor kerugian kira-kira RM108,000 selepas kereta jenis Proton Persona dipecah penjenayah ketika diparkir di Nusa Bestari di sini kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang juga lelaki warganegara China memakir Proton Persona dinaikinya itu untuk minum di restoran berhampiran.

“Mangsa berusia 40- an ini dipercayai baharu sahaja mengeluarkan wang sebanyak RM90,000 dari sebuah bank di Taman Bukit Indah.

“Dia kemudiannya menyimpan wang terbabit di dalam beg komputer riba miliknya yang mana diletakkan dalam kereta sebelum berhenti di sebuah tempat letak kereta di Nusa Bestari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, mangsa mula menyedari barangan miliknya hilang selepas mendapati cermin pintu belakang belah kanan kereta dinaikinya itu pecah.

“Mangsa kemudiannya mendapati kesemua wang bersama beg komputer riba yang disimpan dalam keretanya sudah hilang.

“Kerugian dianggarkan bernilai RM108,000 yang mana RM90,000 wang tunai adalah untuk kegunaan gaji pekerja dan milik peribadi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel Berkaitan: