Tiada laporan bangkai kapal perang Belanda hilang

Zulkarnain
Zulkarnain
A
A
A

KUANTAN - Tiada laporan mengenai kehilangan dua bangkai kapal bersejarah milik Belanda era Perang Dunia Kedua, HNLMS O 16 dan HNLMS K XVII dari perairan Pahang sebagaimana didakwa sebuah penerbitan luar negara.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksmana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, bagaimanapun pemantauan segera akan dibuat di perairan dekat Tioman itu, yang didakwa sebagai lokasi berlakunya kecurian.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan mencuri keluli atau bahan tembaga yang menjadi khazanah negara di lokasi-lokasi kapal karam.

"Pada 2015 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi KD Pahang pernah mematahkan cubaan penceroboh Vietnam yang mencuri khazanah ini kira-kira 55.5 batu nautika dari muara Sungai Pahang.

Kapal bersejarah milik Belanda era Perang Dunia Keduam, HNLMS K XVII (kiri).- Foto sumber wikipedia
Kapal bersejarah milik Belanda era Perang Dunia Keduam, HNLMS K XVII (kiri).- Foto sumber wikipedia

"Mereka menggunakan teknik licik dengan menyelam tanpa menggunakan alat selaman bagi mengelakkan pihak penguasa mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan untuk mencuri sisa kapal peninggalan perang di situ.

"Mereka ditangkap dan diserahkan kepada pihak Maritim kerana menjalankan kegiatan curi khazanah negara berikutan penemuan barangan logam tembaga dipercayai dari kapal perang British iaitu HMS Repulse dan HMS Princes Of Wales yang karam di perairan itu ketika era zaman Perang Dunia Kedua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, media luar mendakwa aset warisan perang dunia kedua itu hilang di Laut China Selatan terdiri dari sebuah kapal perang dan sebuah kapal selam yang dipercayai karam dalam Perang Dunia kedua.

Artikel Berkaitan:

HNLMS K XVII tenggelam di perairan Malaysia pada Disember 1941 mengorbankan 36 kru 1 manakala HNLMS O 16 tenggelam pada 15 Disember 1941 dan hanya seorang daripada 42 kru selamat.

Dakwaan itu menyebut, kapal kapal tersebut diletupkan di dasar lautan manakala serpihan keluli dibawa naik sebelum dijual ke pasaran antarabangsa.

Sinar Harian turut menghubungi Ketua Bahagian Siasatan jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan yang menjelaskan belum ada laporan dibuat mana-mana pihak berhubung dakwaan itu.