Imbau sejarah pengisytiharan kemerdekaan

Petugas sedang membuat persediaan menjelang Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Melaka esok.
Petugas sedang membuat persediaan menjelang Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Melaka esok.
A
A
A

LEBIH 30,000 orang dijangka memeriahkan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan diadakan di Dataran Pahlawan, Melaka esok.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah kerana sejarah negeri itu menjadi saksi pengisytiharan kemerdekaan negara oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan berkata, majlis tersebut dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, menteri Kabinet dan Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan turut memutuskan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan pada tahun lepas.

“Logo ini menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian rasa seia, sekata, sehati dan sejiwa membarakan perasaan sayang kepada negara.

“Lagu Malaysia Bersih akan menjadi lagu utama sambutan tahun ini dan lagu Kita Punya Malaysia turut dinyanyikan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan menyemai amalan integriti,” ujarnya.

Menurutnya, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini ialah ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.

“Kerajaan berharap tema ini boleh memupuk dan menyalakan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih.

Artikel Berkaitan:

“Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Tahun 2019 akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos nanti manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti akan diadakan di Kuching, Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu memaklumkan sebanyak 15 aktiviti akan diadakan antara 1 hingga 4 Ogos ini.

Menurutnya, aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tiga hari di Melaka antaranya program 'Doa Sayangi Malaysiaku' bagi semua agama yang akan diadakan di sekitar Melaka mulai 2 hingga 4 Ogos ini.

“Marilah kita imbau kembali sejarah besar negara pada 63 tahun lepas di mana berlakunya pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di Banda Hilir, Melaka pada 23 Februari 1956,” katanya kepada Sinar Harian.