Angkat tradisi Melayu lama

No Image Caption
A
A
A

BERTANJAK dan berpakaian persis pahlawan Melayu lengkap bersenjatakan keris serta lembing adalah antara kelainan yang dibawa sempena Program Aspirasi Merdeka 2019.

Gimik itu sebenarnya simbolik perjuangan masyarakat dahulu sehingga terbentuknya Malaysia hari ini yang aman dan harmoni.

Bersesuaian dengan lokasi di MuziumNegeri Terengganu, ia simbolik kepada peranan muzium yang menyimpan khazanah berkaitan kemerdekaan negara.

Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii berkata, konsep yang dibuat itu bagi mengangkat tradisi Melayu lama.

Menurutnya, ia mengetengahkan pemakaian busana dan menonjolkan elemen kebudayaan setempat terutama elemen tradisional daerah Hulu Terengganu seperti persembahan silat kura-kura, kertuk ulu dan tumbuk emping.

“Program Aspirasi Merdeka ini diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta akan negara dalam kalangan warga sekolah, warga jabatan dan agensi terlibat, pihak swasta serta badan bukan kerajaan.

“Aktiviti ini diharap memberikan kefahaman kepada peserta untuk mengetahui sejarah pejuang negara dan usaha pemimpin terdahulu bagi mencapai kemerdekaan dan menjaga maruah bangsa,” katanya.

Program itu merupakan acara tahunan Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan dianjurkan Bahagian Program Radio melibatkan 33 stesen RTM dalam usaha mendidik masyarakat untuk sentiasa cintakan negara di samping menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang.

Artikel Berkaitan:

Aspirasi kali ini mengangkat kerjasama dengan Jabatan Muzium Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebagai usaha berterusan mendidik generasi muda untuk memahami, menghormati serta mengamalkan budaya tradisi supaya identiti Malaysia tidak pudar dan dilupakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menyempurnakan majlis pelancaran berkata, program tersebut menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.“Dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme, semua jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan perlu bekerjasama.

“Kerjasama ini mencerminkan rasa kebersamaan kita semua sebagai rakyat dengan kerajaan yang sentiasa memikirkan dan menggubal dasar yang akan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau turut meminta agar rakyat menolak sebarang bentuk tindakan atau hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip hidup dalam sebuah negara berdemokrasi.