Jom intai bintang, matahari di Port Dickson

Pengunjung boleh mencerap matahari dan bintang melalui teropong yang disediakan.
A
A

PORT DICKSON - Dengar saja perkataan Port Dickson, apa yang anda bayangkan? Pastinya keindahan pantai, lautan membiru serta desiran ombak menerjah fikiran anda. Namun, tahukah anda sebenarnya bukan pantai, laut atau makanan sahaja menjadi tarikan di sana. Bagaimana jika penulis beritahu anda boleh ‘meneropong’ bintang di Port Dickson? Tak percaya? Bagaimana pula jika penulis beritahu sebuah teleskop gergasi, bernilai jutaan ringgit, antara terbesar di Malaysia ada di Port Dickson. Ya, semuanya ada di Balai Cerap Telok Kemang. Cukup sekadar menikmati keajaiban alam kerana alam semesta itu sangatlah luas dan indah. Itulah yang penulis rasakan ketika bertemu Penolong Pengurus Balai Cerap Telok Kemang, Muzamir Mazlan. Mendengarkan kisahnya mengoperasikan balai itu, dihiasi gambar bintang, planet, aurora, matahari, kilat dan banyak lagi. Jelasnya, balai tersebut beroperasi setiap hari dan bayaran dikenakan kepada pengunjung untuk memasuki balai tersebut namun syaratnya, hanya 30 orang dalam satu masa. Ujarnya, pengunjung boleh menjalankan aktiviti cerapan matahari iaitu melihat matahari pada jam 3 petang hingga 5 petang, manakala cerapan bintang pada jam 10.30 malam hingga 12.00 malam. “Ia bergantung kepada cuaca. Kalau hujan, kita tidak benar pengunjung guna teleskop tapi ruang pameran tetap ada. “Gambar yang kami ada menarik minat pelbagai pihak malah kami pernah dihubungi laman web luar negara. Mereka minta kebenaran untuk guna gambar dari balai cerap ini,” katanya kepada Sinar Harian. Tambahnya, terdapat beberapa balai cerap di Malaysia dan teleskop di Telok Kemang merupakan alat termoden, termahal dan mampu dijadikan tarikan pelancongan di Port Dickson dan Negeri Sembilan.

Penulis ketika meninjau Balai Cerap Telok Kemang.
Penulis ketika meninjau Balai Cerap Telok Kemang.

Lampu tidak semarak

Menceritakan lebih lanjut berhubung pencemaran cahaya, Muzamir memaklumkan beberapa negara luar memastikan lampu-lampu jalan dan lampu bangunan tidak begitu cerah atau menggunakan mentol khas di mana cahayanya tidak begitu ‘semarak’ ke atas. “Kalau di Port Dickson, begitulah cahayanya, tak banyak tercemar, tak banyak yang memancar ke atas. Bila cahaya semarak terlalu banyak ke atas, agak sukar untuk kita mendapatkan cerapan berkualiti,” ujarnya. Malah, beliau mencadangkan kerajaan negeri mewartakan Port Dickson sebagai ‘kawasan gelap’. “Kalau dapat dalam 10 kilometer di Port Dickson diwartakan sebagai kawasan gelap, Negeri Sembilan adalah negeri pertama yang ada warta tersebut maka dapat dijadikan kawasan cerap bintang. “Sekarang kalau kita nak tengok bintang lebih jelas, kita kena pergi ke Sabah, sebab pencemaran cahaya di sana sangat rendah,” katanya.

Kehadiran pengunjung suam-suam kuku

Bagi Muzamir, kehadiran pengunjung ke balai cerap tersebut masih suam-suam kuku sedangkan mereka bersedia menerima lebih ramai pelancong baik dari dalam mahupun luar negara. “Sekali masuk boleh muat dalam 30 orang tapi jangan risau kerana kita boleh bahagikan kepada beberapa sesi jika terlalu ramai orang. Bagi yang berkumpulan, seeloknya hubungi kami terlebih dahulu supaya mudah susun pergerakan anda,” ujarnya. Balai cerap ini terletak berhampiran pantai Telok Kemang dan dari situ anda boleh nampak keindahan laut, terbentang luas di hadapan anda. Jika singgah ke Port Dickson selepas ini, jangan lupa menjengah Balai Cerap Port Dickson. Percayalah, anda tidak akan menyesal.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia