Masih ramai belum kuasai sains, teknologi

Dr Mohd Fadzli (kiri) meluangkan masa melihat pameran di Minggu Sains Negara di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Dr Mohd Fadzli (kiri) meluangkan masa melihat pameran di Minggu Sains Negara di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Kesedaran dan minat golongan belia serta pelajar kepada sains dan matematik masih berkurangan sekali gus tidak mencapai sasaran untuk melayakkan mereka mengambil bidang sains dan teknologi di peringkat lebih tinggi.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahya berkata, mengikut statistik Kementerian Pendidikan, penguasaan dalam bidang tersebut hanya mencatatkan 40 peratus sahaja masa kini, berbanding sasaran asal 60 peratus.

“Sains dan matematik ini merupakan asas kepada ilmu-ilmu lain, namun kesedarannya masih rendah. Kita di peringkat kementerian telah melakukan pelbagai program untuk menarik minat pelajar dan ibu bapa sendiri mengenai kepentingan sains dan matematik ini,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Beliau ditemui di Majlis Perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Kelantan yang disempurnakan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohammed Fadzli Hassan bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Datuk Norhalim Yunus.

Menurutnya, Minggu Sains Negara (MSN) ini juga antara inisiatif untuk menimbulkan kesedaran dan minat dalam kalangan belia dan pelajar, sekali gus membantu ibu bapa untuk melihat dan memahami dengan jelas kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan masyarakat.

Beliau juga berkata, MSN di Kelantan anjuran bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) ini merupakan MSN fasa kedua melibatkan 10 buah negeri iaitu Melaka, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Perlis, Kedah dan Selangor.

“MSN Kelantan 2019 ini akan berlangsung selama lima hari bermula 15 hingga 19 Ogos bertempat di Dewan Jubli Perak ini. Untuk MSN 2019, kita mensasarkan pengunjung seramai sejuta orang melibatkan 100,000 setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya MSN 2019 ini, kita harap lebih ramai pelajar yang minat dan cenderung terhadap pelajaran sains dan matematik, selain membantu belia menambah pelbagai ilmu pengetahuan mengenai teknologi untuk masa hadapan,” katanya.