Planetarium Melaka dibaiki tahun depan

Adly (tengah) ketika melawat kawasan pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) peringkat negeri di MITC di Ayer Keroh di sini hari ini.
Adly (tengah) ketika melawat kawasan pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) peringkat negeri di MITC di Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri memberi jaminan kerja-kerja menambah baik Planetarium Melaka menerusi kerjasama pihak swasta akan dilaksanakan menjelang tahun depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, langkah itu antara usaha pihaknya untuk mengekalkan dan menambah baik peranan bangunan yang terletak di tengah-tengah Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) sebagai lokasi pembelajaran ilmu astronomi dan sains, selain berfungsi sebagai daya tarikan yang memberi fokus kepada dunia sains dan teknologi.

Menurutnya, satu kerjasama turut ditandatangani dengan pihak swasta berkenaan bulan lalu dan kerja-kerja pembangunan akan dilakukan bagi menyokong kawasan planetarium tersebut.

"Bulan Julai lalu telah diadakan sesi tandatangani kerjasama dengan pihak swasta untuk merencanakan Planetarium Melaka termasuk pembangunan lain sebagai pusat sehenti (pelancongan).

"Peranan Planetarium Melaka akan ditambah baik dan kekal sebagai salah satu daya tarikan di negeri ini," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) peringkat negeri di MITC di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), Kementerian Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Dr Mohd Nor Azman Hasan; Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah dan Pengarah International Sicience Council (ISC), Reginonal Office For Asia and The Pacific (ROAP), Profesor Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman.

Artikel Berkaitan:

Tiga murid-murid tertarik melihat salah satu pameran yang terdapat pada Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) peringkat negeri di MITC di Ayer Keroh di sini hari ini.
Tiga murid-murid tertarik melihat salah satu pameran yang terdapat pada Majlis Perasmian Minggu Sains Negara (MSN) peringkat negeri di MITC di Ayer Keroh di sini hari ini.

Adly berkata, walaupun sektor perkhidmatan menyumbang kepada ekonomi terbesar Melaka, penerapan ilmu sains dan teknologi turut berperanan menyokong sektor berkenaan demi kebaikan rakyat.

Selain itu menurutnya, tema MSN 2019 'Sains Untuk Kesejahteraan' dilihat signifikan kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia amnya dan rakyat Melaka khususnya kerana sains dan teknologi akan memberi impak besar terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat.

Malah menurutnya, penggunaan teknologi terkini membolehkan pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar dapat dilaksana dengan lebih cekap dan berkesan.

"Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) amat penting sebagai alat dalam menjadi pemangkin pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Penyelesaian kepada isu dan cabaran dalam pengurusan alam sekitar dan pembangunan negara banyak bergantung kepada kemajuan STI serta tahap penguasaan dalam bidang tersebut," katanya.

Dalam pada itu, MSN yang bermula pada hari ini dan berakhir pada 17 Ogos turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran teknologi, sesi pembentangan, bengkel roket angin, pertunjukan sains, demonstrasi drone dan sebagainya.