Taufan Lekima: Segera salur bantuan mangsa ribut

Romli meninjau sebuah kediaman mengalami kerosakan akibat bencana ribut Lekima di Kampung Kubang Panggas, Kubang Rotan di sini tadi.
Romli meninjau sebuah kediaman mengalami kerosakan akibat bencana ribut Lekima di Kampung Kubang Panggas, Kubang Rotan di sini tadi.
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi berkaitan lain diharap dapat menyegerakan bantuan membaik pulih rumah mangsa ribut akibat tempias Taufan Lekima demi memastikan keselesaan mereka.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Romli Ishak berkata, setakat ini kira-kira 1,808 rumah rosak akibat ribut di Kedah dengan jumlah kerosakan paling tinggi di daerah Kuala Muda.

Menurutnya, pihaknya mendapati kebanyakan kediaman mangsa ribut pada Jumaat lalu mengalami kerosakan di bahagian bumbung rumah.

"Kita jangkakan jumlah kediaman yang rosak mungkin akan bertambah berbanding bilangan dicatatkan setakat ini, bagaimanapun ia tidak akan mencecah 2,000 kediaman.

"Jadi, kita akan dapatkan jumlah keseluruhan akibat ribut pada hari terakhir esok dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Kerja Rasmi daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Kedah bagi Bencana Ribut Lekima di Kampung Tepi Laut di sini hari ini.

Romli berkata, pihaknya berharap semua agensi dapat buat penyelarasan dan melaksanakannya dengan baik demi memastikan kerja membaiki rumah dapat dilaksanakan segera.

"Bantuan wang ihsan maksimum RM500 akan disalurkan pada minggu depan kepada mangsa ribut, manakala bantuan membaik pulih rumah mengalami kerosakan serius sehingga melebihi RM5,000 bergantung kerosakan juga sudah diluluskan Kabinet.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan di bawah RM5,000 dengan maksimum RM5,000 untuk bantuan membaik pulih rumah kategori kerosakan kecil, manakala bantuan melebihi RM5,000 untuk kategori kerosakan besar," katanya.

Sementara itu, mangsa ribut, Jamilah Ahmad, 52, dari Kampung Kubang Panggas, Kubang Rotan, di sini, berkata, dia kini terpaksa menumpang di rumah saudara selepas kediaman musnah teruk akibat ribut itu.

"Kalau boleh saya harap ada rumah sendiri sebab tak nak susahkan orang lain.

"Rumah saya hampir roboh, semuanya rosak," katanya

Manakala, Zakiah Man, 56, berkata, rumahnya turut mengalami kerosakan apabila bumbung diterbangkan angin dalam tempoh beberapa minit sahaja.

"Jadi, mak cik terpaksa tumpang rumah adik selama beberapa hari sebelum balik semula ke rumah kami," katanya.