Abang ugut adik dengan pisau

Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang abang mengugut adiknya dengan pisau pemotong sayur gara-gara tidak berpuas hati apabila ditegur kerana meminta duit kepada ibunya dalam kejadian di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus petang semalam.

Mangsa berusia 17 tahun bertindak menegur abangnya yang berusia 30 tahun selepas tidak tahan mendengar ibunya ditengking dan dimaki hamun suspek kerana enggan memberikan wang yang dipinta.

Menurut sumber, suspek ada meminta sejumlah wang daripada ibunya. Namun wanita itu memberi alasan tiada duit kerana masih belum gaji.

"Suspek yang gagal mengawal kemarahannya lalu bertindak memaki hamun dan menengking ibu mereka.

"Tidak tahan mendengar bunyi bising itu, adik perempuan mereka berusia 11 tahun yang turut berada di rumah menyerahkan RM5 kepada suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber, meskipun sudah diberikan wang, suspek masih tidak berpuas hati dan terus memaki hamun ibu mereka dengan kata-kata kesat.

"Tidak sampai hati melihat ibu menangis kerana perbuatan biadap suspek, adik suspek memberanikan diri menegur abangnya dengan cara baik.

"Tetapi teguran itu seolah-olah menyimbah minyak ke api apabila suspek semakin naik angin sebelum mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan mengejar mangsa sambil mengeluarkan kata-kata ugutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sumber berkata, bimbang keselamatan ahli keluarganya terancam mangsa membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.