'Islam bukan untuk disimpan'

DARI kiri, Bro Firdaus dan Dr Taufiq bertekad untuk terus berjihad dan berdakwah ke jalan ALLAH meskipun banyak rintangan yang terpaksa dilalui.
DARI kiri, Bro Firdaus dan Dr Taufiq bertekad untuk terus berjihad dan berdakwah ke jalan ALLAH meskipun banyak rintangan yang terpaksa dilalui.
A
A
A

BARANGKALI Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin sudah tidak mengingati saya. Masakan tidak, ketika menjadi pengetua di sebuah kolej kediaman di sebuah universiti, Dr Taufiq mempunyai ribuan pelajar.

Ya, sehingga kini, mana mungkin saya lupuskan ingatan terhadap pertolongan beliau ke atas saya berbelas tahun lalu. Dr Taufiq merupakan individu yang membantu merealisasikan cita-cita saya sejak kecil menjadi wartawan. Bukan saya seorang, malah beberapa rakan sekolej yang lain.

Ketika itu, meskipun keputusan saya cemerlang dalam jurusan teknologi komputer, namun hati saya tidak di situ. Dipendekkan cerita, saya menemui Dr Taufiq dan hasil bantuannya serta doa rakan-rakan, saya dibenarkan mengikuti pengajian komunikasi massa. Kini, saya sudah lebih sedekad menemui cinta sejati saya dalam bidang kewartawanan. Saya bersyukur dengan takdir yang ALLAH SWT aturkan.

Masa silih berganti, saya melihat progres Dr Taufiq yang penuh warna-warni. Apa yang kami banggakan, beliau kini ialah seorang pendakwah terkemuka yang dihormati di negara ini. Nampaknya, beliau tidak pernah jemu memperjuangkan Islam sejak dulu lagi.

Bukan beliau sahaja malah Presiden Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung (Bro Firdaus) terus berdakwah demi agama suci ini.

Sesungguhnya, berdakwah bukan satu kerja mudah. Cemuhan itu merupakan satu hal yang sulit untuk ditepis.

"Itu lumrah seperti peribahasa alah bisa, tegal biasa. Jika Nabi Muhammad SAW sebaik-baik manusia pun pernah berhadapan dengan cemuhan ketika menyebarkan syiar Islam, apatah lagi kami. Cabaran kami tidak sebesar mana seperti yang dilalui baginda," demikian kata-kata padu yang terpacul daripada dua figura yang dihormati ramai itu.

Dakwah media sosial

Artikel Berkaitan:

SELAIN street dakwah, Bro Firdaus turut memenuhi undangan di masjid atau surau.
SELAIN street dakwah, Bro Firdaus turut memenuhi undangan di masjid atau surau.

Berbicara mengenai Bro Firdaus, beliau memberitahu Sinar Islam, dirinya mula serius dalam berdakwah sekitar tahun 2011 iaitu selepas enam tahun memeluk agama suci berkenaan.

Hatinya bagaikan 'ditarik-tarik' untuk berbuat demikian selepas menghadiri satu majlis perjumpaan mualaf (revert gathering) hasil jemputan seorang sahabat. Di situlah, beliau berjumpa seorang pendakwah yang pernah bergelar mualaf, Ustaz Hussain Yee yang menasihatkannya untuk berdakwah.

"Secara jujur, enam tahun pertama selepas memeluk Islam pada tahun 2005, saya bazirkan begitu sahaja. Saya memang amalkan Islam dalam kehidupan saya seperti solat, puasa, bayar zakat dan lain-lain.

"Saya pernah jalankan perniagaan sendiri, kerja di bahagian pengiklanan online dan pernah menjawat jawatan pengurus akaun kanan di sebuah syarikat senaraian awam. Namun, saya tak pernah pedulikan tentang urusan dakwah sehinggalah ketika sesi perjumpaan berkenaan," katanya kepada ketika ditemui di pejabat MRM baru-baru ini.

Berdasarkan catatannya, Bro Firdaus buat pertama kalinya turun berdakwah menerusi konsep street dakwah di Bukit Bintang dan Petaling Street, Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah muncul di kaca televisyen mengendalikan sebuah rancangan Tetamu Masjid China selama 13 episod di TV Alhijrah sekitar tahun 2013. Peluang itu datang selepas beliau berhenti kerja sepenuhnya pada tahun yang sama.

Sehingga sekarang, pendakwah itu masih menjalankan kerja-kerja street dakwah. Pada masa sama, selepas MRM ditubuhkan lima tahun lalu, tanggungjawabnya semakin besar dalam dunia dakwah.

"Kini, fokus dakwah saya ialah melalui media sosial kerana ia antara medium yang sangat berkesan untuk memberikan kesedaran pada skala yang besar. Namun, ia masih lagi memerlukan sentuhan peribadi seperti mengadakan pertemuan secara empat mata untuk kes-kes tertentu dalam kerja-kerja dakwah," katanya.

Nyaris berhenti dakwah

ANTARA aktiviti dakwah yang dilakukan Bro Firdaus di Afrika Selatan baru-baru ini.
ANTARA aktiviti dakwah yang dilakukan Bro Firdaus di Afrika Selatan baru-baru ini.

Bro Firdaus, 36, meneruskan naratif ceritanya. Kali ini, beliau menyentuh tentang pengalaman pahitnya sepanjang bergelar pendakwah.

Pernah terlintas di hatinya untuk berhenti berdakwah. Ya, agamawan itu juga sepertimana manusia lain yang adakalanya tewas melawan perasaan sendiri.

"Namun, saya tersedar. Apabila difikirkan semula, saya tidak patut berfikiran sebegitu. Nauzubillah, ia benar-benar pahit untuk saya kenang semula rasa itu," ujar beliau penuh kesal.

Sebagai pendakwah, akui Bro Firdaus, dicaci oleh manusia merupakan satu elemen yang perlu 'ditelan'.

"Tidak mungkin dalam dunia dakwah iaitu apabila kita lakukan amar makruf nahi mungkar, orang yang melakukan kemungkaran atau syirik kepada ALLAH SWT, tidak akan melenting apabila ditegur. Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga menghadapi cemuhan hebat ketika memperjuangkan dakwah Islamiah," ujar beliau.

Apapun, ujar beliau, apa yang penting ialah mendapatkan keredaan ALLAH SWT dalam kerja dakwah, bukan menarik kepercayaan orang lain.

"Kalau ALLAH reda, lebih senang orang hendak percaya pada kita. ALLAH akan gerakkan hati hamba-hamba-Nya kepada (dakwah) kita," ujarnya.

Mengulas kriteria yang diperlukan untuk bergelar pendakwah, Bro Firdaus menegaskan, sesiapa sahaja yang bersyahadah, 'Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu ialah pesuruh ALLAH', ia sebenarnya melayakkannya untuk menjadi pendakwah.

Ujar beliau, bukan semua pendakwah yang layak jadi ulama, tetapi ulama pasti seorang pendakwah. Namun, pendakwah belum tentu seorang ulama.

"Syahadah ada dua ayat. Dengan kita bersaksikan ALLAH, maksudnya kita yakin dengan-Nya. Namun, kalau orang tanya kita soalan dan kita tidak tahu jawapan, tiada masalah. Belajarlah dan sampaikan (ilmu).

"Jika tidak tahu lagi, belajar lagi dan sampaikanlah. Proses itu akan berterusan sampai kita mati. Namun, jika ia memerlukan disiplin mendalam seperti usul fiqh, 'ulum al-Quran dan sebagainya yang bukan kepakaran kita, berilah kepada yang pakar," akhiri bicaranya.

Dakwah berterusan Dr Taufiq

DR TAUFIQ memulakan kerja-kerja dakwahnya selepas masuk Islam pada tahun 1983 tanpa pernah ada rasa jemu.
DR TAUFIQ memulakan kerja-kerja dakwahnya selepas masuk Islam pada tahun 1983 tanpa pernah ada rasa jemu.

Plot pengkisahan Bro Firdaus sedikit berbeza dengan Dr Taufiq meskipun kedua-dua figura hebat berkenaan pernah bergelar saudara baharu.

Selepas memeluk Islam pada bulan November 1983 iaitu pada usianya 15 tahun, Dr Taufiq berazam untuk jadi seseorang yang berguna kepada agamanya.

Ujar beliau, bukan mudah untuk mendedahkan bahawa dirinya seorang Muslim. Ia ibarat kita lakukan sesuatu yang ganjil dalam keluarga dan berhadapan dengan masyarakat yang segelintirnya mungkin akan menyisihkan beliau.

"Dijeruk pelbagai rasa itu membuatkan saya lebih termotivasi untuk menjadi seorang yang berguna, ada nilai dan harga supaya masyarakat tidak sisihkan saya.

"Sebab itu perjuangan saya terus belajar setinggi mungkin dan teruskan pengajian sehingga peringkat doktor falsafah sehinggalah dilantik menjadi pensyarah di universiti. Alhamdulillah," kata mantan Ketua Pusat Penyelidikan Sains Katalisis dan Teknologi merangkap Profesor Jabatan Kimia Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia ketika ditemui pada Program Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2019 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kekuatan yang terbina dalam dirinya, Dr Taufiq yang kini merupakan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah memulakan kerja dakwahnya sejurus memasuki agama suci Islam.

"Sebelum itu, saya mencari Islam sendiri sampai jumpa, buat penilaian, analisis dan hinggalah kita sah serta yakin dengan agama yang hendak saya anuti.

"Maknanya, agama yang kita hendak masuk itu, kita kena yakin dan rasa selesa dengannya selepas tahu Islam ialah agama yang benar. Sebab itulah bila saya dapat tahu sesuatu yang benar, secara automatik kita akan rasa seronok dan hendak kongsikan kebenaran itu kepada orang lain," katanya.

Menurut Dr Taufiq, beliau memulakan dakwahnya secara fardi (individu) bermula dengan ahli keluarganya sendiri. Akhirnya, atas hidayah yang dikurniakan ALLAH SWT, ibu dan adik perempuannya turut menerima sinar Islam berkenaan.

Malah, sejak dibangku sekolah lagi, beliau pernah menjadi penolong setiausaha persatuan pelajar Islam di sekolahnya, sebelum menjadi presiden persatuan berkenaan apabila berada dalam Tingkatan 6 Atas.

Terus berjuang

DR TAUFIQ (kiri) berbincang dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail tentang dunia dakwah.
DR TAUFIQ (kiri) berbincang dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail tentang dunia dakwah.

Ketika awal kemunculannya dalam bidang dakwah, Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia itu berkata, beliau sebenarnya lebih ke arah pendidikan kerana minat mengajar.

"Saya mulakan dengan pendidikan dengan buat kelas Kimia, kemudian ceramah motivasi kepada pelajar. Tidak lama selepas itu, saya diberikan peluang untuk saya berkongsi pengalaman kenapa saya masuk Islam.

"Apabila semakin banyak jemputan, saya perluaskan lagi skop perbincangan antaranya bagaimana interaksi orang Islam dengan bukan Islam, kehidupan seorang mualaf dan lain-lain dalam konteks yang lebih luas, kita hendak menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum," katanya yang kemudiannya aktif menerusi Macma.

Mengimbas kembali memori 10 tahun lalu, Dr Taufiq berkata, beliau telah ke udara menerusi radio Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Bermula dengan detik itulah usaha dakwahnya semakin berkembang. Langkah anak kelahiran Sabah itu semakin panjang apabila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program Kembali Fitrah hingga musim ke-5 di TV Alhijrah.

Kepada satu soalan, Dr Taufiq menjelaskan: "Islam yang kita ada bukan untuk kita simpan untuk diri kita. Islam yang ALLAH beri pada kita adalah supaya dapat mengajak manusia untuk memahami Islam sebenarnya.

"Itulah yang menjadi matlamat utamanya berdakwah. Ramai masyarakat terutama yang bukan Islam ingin mengenali Islam sebenarnya. Apa itu budaya hidup seorang Islam sebenarnya? Sebab terlalu banyak persepsi yang tidak betul tentang Islam.

"Sekiranya kita menganjurkan program cerita tentang budaya Islam atau apa itu halal dan konsepnya, ramai yang akan datang. Kita gunakan budaya Islam sebab konsep itu bukan agama supaya mereka tak rasa kita hendak mengajak mereka kepada Islam. Kita cuma hendak memberi kefahaman kepada mereka," katanya yang mempelawa sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tentang Islam hadir ke Macma.

"Di Macma, kami sedia membantu, kami juga menerbitkan pelbagai risalah dan buku tentang Islam dalam tulisan Cina yang boleh didapati secara percuma. Kita juga berbincang dalam bahasa kita sendiri, jangan takut," ujarnya.

Dr Taufiq mahupun Bro Firdaus, kedua-duanya tidak akan berpaling daripada terus berjihad dan berdakwah ke jalan ALLAH meskipun pelbagai rintangan akan terus menghantui mereka.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat." (Riwayat al-Bukhari)