Lari lintang pukang elak ditahan Imigresen

Dua wanita warga Indonesia yang bersembunyi di dalam semak berjaya ditahan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua wanita warga Indonesia lari lintang-pukang sebelum bersembunyi dalam semak bagi mengelak ditahan anggota Imigresen dalam satu serbuan di tapak projek pembinaan di Kampung Paya Sebokok, Kuala Nerus pagi semalam.

Bagaimanapun, cubaan wanita masing-masing berusia 25 dan 34 tahun itu melolos diri gagal apabila akhirnya berjaya ditahan bersama 13 lagi warga asing lain selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, dalam operasi selama enam jam bermula jam 11 pagi sehingga 5 petang itu, sebanyak lapan lokasi tapak projek di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu diserbu.

Menurutnya, seramai 45 orang diperiksa, namun hanya 15 ditahan membabitkan 13 lelaki termasuk tiga warga Indonesia, tujuh warga Bangladesh dan tiga warga Myanmar serta dua wanita warga Indonesia.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 63 tahun dan masing-masing dikenal pasti bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan berkenaan.

"Kebanyakan mereka tahu bertutur dalam Bahasa Melayu namun kurang fasih," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Ahmad Salihin berkata, siasatan awal mendapati tujuh daripada mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Manakala tiga daripadanya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

"Lima daripada mereka pula dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah," katanya.

Katanya, kesemua ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan dan tindakan lanjut.