Buang perasaan prejudis antara satu sama lain: Apek Cina

How Tai atau Apek Cina ketika hadir sebagai tetamu Sinar Live hari ini.
How Tai atau Apek Cina ketika hadir sebagai tetamu Sinar Live hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap warga Malaysia perlu berperanan sebagai duta muhibah dengan saling berusaha untuk memahami kelebihan kaum lain agar keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.

Pemilik akaun Facebook Ulasan Apek Cina atau nama sebenarnya, Zee How Tai berkata, melalui cara itu juga ia dapat membuang perasaan prejudis antara satu sama lain.

“Kita kena buat sesuatu yang menyeronokkan. Sebagai contoh orang Cina dapat menulis Jawi dan orang Melayu pula boleh bertutur dalam bahasa Cina.

“Inisiatif ini (berusaha untuk memahami kelebihan kaum lain) secara tidak langsung akan menjadikan kita lebih fahami antara satu sama lain.

"Tetapi kita perlu sedar bahawa ia bukan bertujuan politik tetapi dari jiwa atau rohani,” katanya ketika hadir sebagai tetamu Sinar Live yang membincangkan tajuk Merdekakah Jiwa Rakyat Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, bagi membina perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum adalah dengan cara bergaul dengan lebih rapat dan bukannya hanya berada pada kelompok kaum-kaum tertentu sahaja.

“Jadi saya merasakan setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang rakan yang berbeza kaum. Cina kena ada seorang kawan Melayu, begitu juga orang India,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tuduhan mengatakan anggota tentera tidak melakukan apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur, How Tai menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tidak tahu bidang tugas sebenar tentera jangan buat kenyataan sebarangan. Mereka banyak berkorban untuk menjaga keamanan negara.

“Ketika orang lain seronok menyambut hari raya, mereka (tentera) pula bertugas menjaga keselamatan di sempadan. Jadi tidak patut buat kenyataan sedemikian (bersifat tuduhan),” katanya.