Operasi Terminal Bas Medan Gopeng ada kelulusan

Mohd Tarmizi (dua dari kiri) ahli pertubuhan menunjukkan surat rasmi yang diterima berhubung pengoperasian Terminal Bas Medan Gopeng.
A
A

IPOH - Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silveritage Medan Gopeng menegaskan bahawa operasi penjualan tiket serta menaik dan menurunkan penumpang di Bangunan Silveritage Medan Gopeng di sini mempunyai kelulusan.

Pengerusinya, Mohd Tarmizi Mohd Yusoff berkata, tindakan Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong Choo Kiong mengeluarkan kenyataan menafikan pengoperasian semula terminal bas itu jelas bertentangan dengan kelulusan yang diterima daripada kerajaan negeri.

"Kami dapat kelulusan dan kebenaran daripada kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Maju Perak Land Sdn Bhd.

"Malah, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyatakan tiada halangan untuk menjalankan aktiviti penjualan tiket serta pengambilan dan penurunan penumpang berdasarkan surat yang bertarikh 6 Mei lalu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyatakan tiada halangan untuk aktiviti pengoperasian dan aktiviti bas ekspres.

Katanya, kenyataan mengelirukan daripada Choo Kiong memberi anggapan negatif bahawa pembukaan semula terminal itu adalah tidak sah.

"Ramai pengusaha bas berasa takut untuk masuk ke sini kerana bimbang akan dikenakan denda sedangkan kami telah mendapat kebenaran secara rasmi.

"Kami bukan suka-suka buka, semuanya ada surat. Beliau sepatutnya merujuk perkara ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan," katanya.

Ahad lalu, Choo Kiong merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru dalam kenyataannya menafikan pembukaan semula Terminal Medan Gopeng kerana bangunan tersebut tidak diwartakan sebagai terminal bas ekspres.