Wanita lari daripada polis, maut terjatuh hotel

Dua wanita ditemui terbaring di hadapan lobi hotel ketika elak diberkas polis dalam serbuan Op Noda semalam.
Dua wanita ditemui terbaring di hadapan lobi hotel ketika elak diberkas polis dalam serbuan Op Noda semalam.
A
A
A

TAIPING - Gara-gara cuba mengelak daripada diberkas polis, seorang wanita warga Thailand maut dipercayai terjatuh dari tingkat satu sebuah bangunan hotel di Jalan Medan Perwira, Kamunting di sini semalam.

Dalam serbuan Op Noda kira-kira jam 9 malam itu, wanita berusia 22 tahun yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping manakala rakannya yang berusia 26 tahun terselamat apabila hanya mengalami patah tangan kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak menerima maklumat mengenai kegiatan persundalan di daerah itu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati empat bilik penginapan telah didaftarkan atas nama yang sama dipercayai ‘bapa ayam’.

"Semasa pasukan mengetuk pintu bilik, kedengaran bunyi bising dipercayai usaha mereka cuba keluar melalui tingkap.

"Pasukan serbuan turun ke tingkat bawah dan mendapati dua wanita telah terbaring di hadapan lobi dengan salah seorang berlumuran darah. Kedua-dua mereka dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum seorang disahkan meninggal dunia," katanya.

Anuar berkata, pihaknya turut menahan dua lagi wanita warga Thailand berusia 23 dan 25 tahun.

"Polis telah merampas tiga telefon bimbit, enam kondom dan wang tunai RM530 dipercayai hasil kegiatan itu.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua wanita terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 372B Kanun Keseksaan," katanya.