Kastam serbu premis pembotolan arak tiruan

Johari (tengah) menunjukkan botol minuman keras kosong yang dirampas anggotanya dalam serbuan terbabit.
Johari (tengah) menunjukkan botol minuman keras kosong yang dirampas anggotanya dalam serbuan terbabit.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah membanteras aktiviti pembotolan minuman keras tiruan yang menggunakan setem JKDM palsu dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Dahlia, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.

Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Kastam dari Cawangan Alor Setar yang menjalankan serbuan turut menjumpai setem Duty Paid sebanyak 32,904 keping dan setem Duty Not Paid sebanyak 800 keping yang disyaki palsu.

"Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dipercayai dalang sindiket terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam, di sini hari ini.

Menurutnya, selain setem palsu terbabit, pihaknya turut merampas peralatan-peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti ini seperti botol, tudung minuman keras, dan pelekat label minuman keras pelbagai jenama.

Johari menggunakan alat pengesan khas untuk membuktikan setem yang digunakan palsu.
Johari menggunakan alat pengesan khas untuk membuktikan setem yang digunakan palsu.

"Kes ini berjaya dibongkar susulan serbuan pertama dijalankan pihak kita di Semenyih pada Mac lalu.

"Ketika ini, kita masih menjalankan siasatan untuk melihat sama ada kedua-dua kes ini mempunyai kaitan," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Eksais 1976 kerana menyuling, menapai atau mengilang barang-barang berduti tanpa lesen.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 74 akta yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras dan sebagainya ke talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.