Dow Jones catat kejatuhan harian terbesar

No Image Caption
A
A
A

NEW YORK - Wall Street mencatatkan penjualan besar-besaran ekoran kebimbangan kemelesetan ekonomi mencengkam pasaran selepas lengkungan pulangan bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menjadi terbalik buat sementara.

Memetik laporan Reuters, perkara itu pertama kali berlaku dalam tempoh 12 tahun.

Ketiga-tiga indeks utama AS ditutup sekitar tiga peratus lebih rendah dengan saham mewah Dow mencatat kejatuhan harian terbesar sejak Oktober selepas pulangan bon Perbendaharaan dua tahun melepasi pulangan bon Perbendaharaan 10 tahun yang dianggap sebagai isyarat kemelesetan klasik.

Data ekonomi yang tidak memberangsangkan dari China dan Jerman mencadangkan ekonomi global yang goyah, diselubungi perang perdagangan AS-China yang semakin meruncing, Brexit dan ketegangan geopolitik.

Jerman turut melaporkan penguncupan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua serta pertumbuhan perindustrian China pada Julai mencecah paras terendah dalam tempoh 17 tahun.

"Semuanya negatif dan tidak banyak positif hari ini," kata Chuck Carlson, Ketua Pegawai Eksekutif di Horizon Investment Services di Hammond, Indiana.

Dow Jones Industrial Average jatuh sebanyak 800.49 mata atau 3.05 peratus kepada 25,479.42 manakala S&P 500 turun 2.93 peratus atau 85.72 mata kepada 2,840.6.

Nasdaq Composite turun 242.42 mata atau 3.02 peratus kepada 7,773.94.

Artikel Berkaitan:

Menurut data Refinitiv, lebih 300 komponen S&P 500 turun 10 peratus atau lebih tinggi daripada ketinggian 52 minggu sebelumnya.

Sejumlah 8.68 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.47 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya.