Kuasa besar sembunyikan Jho Low?

A
A
A

TERKINI kita didedahkan dengan pengakuan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihak berkuasa Hong Kong sengaja tidak menangkap Jho Low meskipun sudah dimohon dan diberikan segala maklumat oleh pihak berkuasa Malaysia. Pendedahan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa 13 Ogos lalu adalah cukup kritikal kerana kita dimaklumkan bahawa pasukan penyiasat SPRM sudah pun mengetahui lokasi di mana Jho Low, suspek utama skandal 1MDB dan SRC International, bersembunyi.

Hal ini didedahkan melalui keterangan saksi ke-57 iaitu pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain dalam perbicaraan kes rasuah SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Rosli Hussain menjelaskan mengenai satu e-mel yang dikirim oleh Biro Pusat Kebangsaan (NCB) Bukit Aman memohon pihak berkuasa Hong Kong untuk menangkap Jho Low dan rakannya Eric Tan Kim Loong. Mereka dipercayai berada di Kelab Maggie & Rose Family Members di Teluk Repulse, Hong Kong. Bagaimanapun, Rosli berkata, pihak berkuasa Hong Kong tidak bertindak menahan Jho Low.

Tindakan Hong Kong ini yang berada di bawah kekuasaan de facto China membangkitkan kembali persoalan mengenai hubungan rapat antara Jho Low dengan China. Antara pendedahan yang berkait rapat dengan hal ini ialah laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Januari lalu. Antaranya ialah Datuk Seri Najib Razak dituduh meminta agar Jho Low merancang rundingan dengan China bagi ‘menyelesaikan krisis’ hutang 1MDB. Hasilnya, beberapa mesyuarat diadakan antara pihak Malaysia dengan China yang diatur oleh Jho Low sendiri.

Maka persoalan yang masih wujud, benarkah Jho Low terlibat dalam rundingan Malaysia-China ketika Najib berkuasa? Atas dasar apa penglibatan Jho Low? Jika tiada mesyuarat sedemikian yang wujud, mengapa pula Jho Low dalam kenyataan balas beliau (menerusi peguam beliau) seolah-olah mengakui bahawa mesyuarat dengan China sedemikian memang wujud, cuma minit mesyuarat yang didedahkan oleh WSJ itu ‘tidak lengkap’ dan ‘ditafsirkan dengan salah’?

WSJ mendedahkan dalam mesyuarat bertarikh 29 Jun 2016, pegawai China, Sun Lijun (Ketua Pasukan Keselamatan Domestik China ketika itu) berjanji untuk ‘memanfaatkan pengaruh China ke atas beberapa negara lain’ bagi menghentikan siasatan berhubung tuduhan kleptokrasi yang terjadi di 1MDB. Sun Lijun juga ‘memberi jaminan’ kepada pihak Malaysia bahawa China melakukan pengintipan menyeluruh ke atas pejabat WSJ di Hong Kong sebagai ‘memenuhi permintaan Malaysia’. Tuduhan WSJ ini cukup serius kerana ia bukan sahaja menuduh bahawa China melakukan pengintipan ke atas pejabat dan kakitangan WSJ di Hong Kong, malah mereka melakukannya atas ‘permintaan Malaysia’.

WSJ juga melaporkan bahawa sebagai balasan daripada semua bantuan China ini, Jho Low menawarkan dua projek gergasi kepada China – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP). WSJ menyebut secara khusus nama pegawai China yang terlibat ialah Xiao Yaqing iaitu Pengerusi Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset milik China.

Maka dalam mesyuarat Jho Low-China tersebut, WSJ mendakwa kesemua pihak berbincang cara untuk menjadikan projek-projek tersebut dilaksanakan dengan kos yang lebih besar berbanding kos sebenar bagi tujuan ‘membayar hutang 1MDB, rasuah dan lain-lain’. Malah, Xiao Yaqing juga telah ‘membatalkan kesemua temu janji penting di Beijing’ untuk hadir ke mesyuarat dengan Jho Low kerana urusan itu ‘diluluskan oleh Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang’ sendiri.

Nama Xiao Yaqing yang dipetik WSJ kali ini juga bukan calang-calang. Profil beliau di World Economic Forum menunjukkan jawatan beliau selaku ‘Chairman, State-owned Assets Supervision and Administration Commission (SASAC)’ serta ‘Deputy Secretary of the Party Committee, SASAC, dan Member of the 19th CPC Central Committee’.

Artikel Berkaitan:

Jika digabungkan kedua-dua pendedahan terkini saksi pegawai penyiasat SPRM ini dengan pendedahan WSJ pada Januari lalu, maka bukan lagi rahsia kuasa besar manakah yang sedang bersekongkol melindungi Jho Low daripada dihadapkan ke muka pengadilan.