Ganjaran lebih RM150,000 menanti kaki pancing

Pantai Sepat terkenal dengan spesis pari bersaiz mega yang pasti menjadi buruan kaki pancing pada pertandingan memancing sempena Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 yang akan berlangsung di pantai itu Ahad ini.
A
A

KUANTAN - Hadiah lumayan bernilai lebih RM150,000 bakal menjadi rebutan kaki pacing pada siri jelajah pertandingan memancing sempena Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 yang akan berlangsung di Pantai Sepat di sini Ahad ini.

Pertandingan anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu salah satu usaha mempromosikan lokasi pelancongan menarik seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pada pertandingan itu, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, tempat kedua (RM13,000) dan pemenang tempat ketiga (RM5,000).

Bagi pemenang tempat keempat akan membawa pulang wang tunai RM1,500, tempat kelima (RM800), tempat keenam hingga ke-10 (RM400) manakala RM300 bagi pemenang tempat ke-11 hingga ke-100.

Acara yang mendapat sokongan Tourism Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) ini turut menyediakan hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah televisyen LED 60 inci dan empat TV LED 32 inci, 40 hamper dan 10 barangan Igloo.

Bagi peserta yang membuat pendaftaran awal, 1,000 helai t-shirt akan disediakan untuk mereka.

Pantai Sepat terkenal dengan spesis pari bersaiz mega yang pasti menjadi buruan kaki pancing pada pertandingan memancing sempena Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 yang akan berlangsung di pantai itu Ahad ini.
Pantai Sepat terkenal dengan spesis pari bersaiz mega yang pasti menjadi buruan kaki pancing pada pertandingan memancing sempena Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 yang akan berlangsung di pantai itu Ahad ini.

Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran berkata, pertandingan yang masuk siri keenam selepas Melaka, Kelantan, Selangor, Terengganu dan Perak itu akan bermula seawal jam 8.30 pagi dan dijangka selesai jam 12.30 tengahari.

Menurutnya, Pantai Sepat dipilih sebagai lokasi pertandingan memancing kali ini berikutan pantai yang panjang dan amat sesuai untuk aktiviti itu selain mempunyai kemudahan logistik khususnya homestay dan hotel.

“Pantai ini terkenal dengan pelbagai spesis ikan berkualiti tinggi seperti gerung belang, ebek, haruan tasik, ketuka, gelama, ikan yu, todak dan lain-lain.

“Kita jangkakan peserta pasti teruja untuk memburu spesis pari berikutan kawasan pantai sepanjang empat kilometer itu memang terkenal dengan ikan pari bersaiz mega”, katanya.

Md Zali berkata, semua spesis ikan dipertandingkan kecuali sesirat dan kerapu.

“Andai keadaan air pada hari pertandingan jernih, peserta dijangka memburu spesis todak yang dipercayai banyak menghuni dasar pantai berkenaan.

“Pada pertandingan kali ini, kawasan pantai sepanjang 3.5 kilometer dikhaskan untuk memancing bagi memberi keselesaan kepada peserta,’’ katanya.

Beliau berkata, bagi pemancing berminat untuk menyertainya, yuran penyertaan dikenakan RM100 untuk satu joran, bagaimanapun peserta hanya dibenarkan menggunakan dua joran.

“Kaunter pendaftaran akan dibuka 24 jam di lokasi pertandingan bermula jam 12 tengah hari Sabtu ini.

“Pihak penganjur menitikberatkan aspek kebersihan justeru kutipan sampah akan dilakukan sejurus pertandingan berakhir. Peserta juga diminta agar menjaga kebersihan kawasan pantai dengan membuang sampah di tong-tong yang disediakan”, katanya.

Menurutnya, selain memancing, beberapa acara sampingan turut diadakan seperti pertandingan mewarna (dua kategori), pertandingan beyblade dan memancing keli kanvas.

"Sebarang pertanyaan berhubung pertandingan ini boleh berhubung terus di talian 019-6203040, 012-2141401 dan 013- 3838655," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia