Koon Yew Yin tidak prihatin peranan anggota tentera

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli perniagaan, Koon Yew Yin disifatkan sebagai individu yang tidak prihatin terhadap peranan serta sumbangan anggota angkatan tentera terhadap negara berikutan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Bekas Panglima Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli perniagaan itu sebagai satu penghinaan buat seluruh anggota keselamatan dalam negara terutamanya anggota tentera.

"Saya amat kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan dan saya percaya semua anggota tentera sama ada mereka yang tidak lagi berkhidmat mahupun yang sedang berkhidmat turut merasai perkara yang sama.

"Beliau harus sedar, kenyataan itu merupakan penghinaan malah akan mematahkan semangat anggota tentera yang sedang berkhidmat untuk terus menjaga keamanan negara," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Yew Yin menerusi blog kendaliannya hari ini menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar.

Beliau turut menulis bahawa anggota tentera hanya makan dan tidur dan majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran.

Kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang kebanyakan pihak yang menyifatkan ia sebagai kenyataan biadab.

Kata Abdul Aziz, Yew Yin perlu mengetahui bahawa kejayaan yang dicapainya hari ini tidak akan berhasil sekiranya negara tidak berada dalam keadaan yang aman.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai ahli perniagaan yang sudah berjaya beliau perlu tahu latar belakang negara serta peranan yang dimainkan anggota keselamatan seperti anggota tentera dan polis.

"Sudah tentu kejayaan beliau tidak akan tercapai jika negara tidak aman seperti hari ini," katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Ishak Yeop Hamzah berkata, kenyataan bahawa selama ini anggota tentera hanya makan dan tidur dan tidak pernah menembak musuh adalah tidak wajar.

"Beliau perlu memahami dan meneliti kandungan kontrak sosial sebelum membuat sebarang kenyataan seperti ini," katanya.