Jangan gelojoh buat kenyataan, cemar setiakawan dalam PH

Mohd Rashid Hasnon - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohd Rashid Hasnon - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon membidas gesaan dibuat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mengesyorkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berundur.

Beliau berkata, kenyataan Hassan tidak selari dengan hasrat majoriti rakyat Malaysia yang telah memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Menurutnya, gesaan yang dibuat oleh orang dalam PH sendiri juga boleh menjejaskan hubungan setiakawan yang telah dimeterai bersama dalam PH.

“Gesaan berundur dengan mendakwa kepimpinan longlai serta mudah diserang isu sensitif akan memperlihatkan situasi politik tidak stabil dalam kalangan gabungan parti PH.

“Ini sekali gus mencemar hubungan setiakawan sejak awal gabungan ini dibina hinggalah membawa kemenangan kepada PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, rakyat memilih PH dengan kefahaman yang jelas tentang persefahaman dan persetujuan bersama di antara gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

“Kita telah bersetuju untuk bersama mempertahankan peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957 dan 1963 terutamanya berkaitan agama Persekutuan, bahasa rasmi, kedudukan raja dan Melayu serta agenda reformasi di dalam pemerintahan kerajaan PH.

“Lebih dari itu, proses pengampunan dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim diutamakan serta menetapkan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan turut telah dimeterai bersama pada suatu masa yang sesuai di mana Tun Mahathir diberi masa yang cukup untuk memastikan pemerintahan kerajaan PH berada dalam keadaan yang cukup stabil sebelum berlaku peralihan kuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah sampai masa Tun Mahathir berundur: MP PKR

Justeru, Mohd Rashid mengingatkan pemimpin PH agar tidak bertindak gelojoh sehingga memberi gambaran salah, berlaku persaingan buruk dalam kalangan parti gabungan PH.

“Suka untuk saya mengingatkan isi kandungan perjanjian PH iaitu perkara ketujuh iaitu atas semangat setiakawan dan kerjasama. Parti-parti dalam rangka perjanjian ini hendaklah memelihara hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan pertikaian menerusi perundingan bersama.

“Ini adalah kunci setiakawan dalam PH. Janganlah kita lupa tentang asas kebersamaan dan janganlah jadi perosak kepada hubungan setiakawan ini. Kita harus memberi sokongan penuh kepada pimpinan yang sedang meneraju negara dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Terdahulu, Hassan membuat kenyataan mengesyorkan agar Dr Mahathir mengambil langkah berundur daripada jawatan Perdana Menteri rentetan pelbagai polemik yang berlaku ketika ini.

Hassan mendakwa, Dr Mahathir kini seolah hilang punca untuk berdepan dengan pelbagai isu terutamanya untuk mengendalikan isu tiga R iaitu kaum, agama dan raja.