Agong kongsi 'aura' bangunan empat tingkat Jalan Gambut

Yang di-Pertuan Agong (tengah) melambai kepada rakyat ketika mencemar duli melakukan lawatan kerja ke Pahang Medical Centre (PMC), hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong (tengah) melambai kepada rakyat ketika mencemar duli melakukan lawatan kerja ke Pahang Medical Centre (PMC), hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan mengimbas kenangan peribadi baginda dengan bangunan empat tingkat yang terletak di hujung persimpangan Jalan Gambut di sini.

Bangunan yang kini dikenali sebagai Pahang Medical Centre (PMC), hospital dengan kemudahan 64 katil milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) itu, menurut Sultan Abdullah, begitu dekat di hati baginda sehingga memiliki 'aura tersendiri' sebaik sahaja menjejak kaki di pintu utama.

Manakan tidak, Sultan Abdullah bertitah bangunan itu dibina semasa kegemilangan pasukan bola sepak Pahang sekitar tahun 1982 bagi kegunaan skuad Tok Gajah dan dirasmikan oleh ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah.

"Pahang memenangi Piala Malaysia untuk kali pertama pada tahun 1983 dan piala itu dipamerkan di sini untuk tatapan peminat pasukan Pahang. Malah, semasa ayahanda saya merasmikan bangunan ini pada tahun 1984, Almarhum adalah Yang di-Pertuan Agong yang ketujuh.

"Secara kebetulan kedatangan saya ke sini hari ini, juga adalah sebagai Ketua Negara," titah baginda secara spontan semasa berkenan mencemar duli melawat PMC hari ini, yang turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pengurus Besar PMC, Zuraidah Adnan dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Sultan Abdullah seterusnya menitahkan supaya pengurusan hospital untuk terus mengekalkan rentak cemerlang mereka dalam perkhidmatan kesihatan, yang bermula sejak 16 Feb 1990 sekali gus menjadi mercu tanda kejayaan MUIP pada masa hadapan.

"Kita risau kerana pelaburan hospital ini besar... jadi saya berharap hospital ini dikendalikan sebaik mungkin. Apa saja tugas, termasuk sebagai Yang di-Pertuan Agong harus dilakukan dengan baik kerana rakyat menilai. Apa lagi dalam perkhidmatan hospital, perbualan orang merupakan satu cara promosi," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zuraidah, dalam taklimatnya. memaklumkan PMC bermula sebagai klinik yang menawarkan rawatan pesakit luar dan perkhidmatan bersalin di lot kedai di sini, dengan MUIP menjadi salah satu pemegang saham bermula 1 April 1996.

Mereka berpindah ke Jalan Gambut pada 3 Mei 2011 sebelum dijenamakan sebagai PMC pada 13 Mei 2017 dan kini dilengkapi dengan kemudahan seperti unit rawatan rapi, dewan bedah, dewan bersalin, makmal pengimejan diagnostik, farmasi dan fisioterapi serta menawarkan rawatan pesakit luar. -Bernama