Veteran tentera rasa terhina kenyataan Yew Yin

Kira-kira 50 veteran tentera hadir memberikan sokongan mendesak agar siasatan dilakukan terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin.
Kira-kira 50 veteran tentera hadir memberikan sokongan mendesak agar siasatan dilakukan terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 10 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda mendesak siasatan dijalankan terhadap Koon Yew Yin yang disifatkan menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli Majlis Veteran Kebangsaan Malaysia, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata, 10 laporan polis itu mewakili persatuan veteran tentera di negeri ini yang kecewa dengan kenyataan dikeluarkan ahli perniagaan terbabit.

Menurutnya, kenyataan berkenaan secara tidak langsung telah menghina Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

"Kenyataan beliau bersifat menghasut dan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat awam tentang peranan dan kedudukan ATM," katanya kepada media hari ini.

Anuar ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hari ini.
Anuar ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hari ini.

Hadir sama membuat laporan polis, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia Negeri Kedah, Sahaimi Majid; Presiden Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat), Mohamad Shabudin Teh; Yang Dipertua Kor Jurutera Lektrik dan Jentera Diraja, Ineles Mahmood.

Turut hadir, wakil Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia Kedah, Makbul Ilahi Hashim; Presiden Setia Bersama Veteran Kuala Muda, Kapten Mohd Sattar Saad dan wakil Persatuan 19 Melayu Mech Sungai Petani, Mohd Zol Hamid.

Artikel Berkaitan:

Anuar berkata, desakan itu bertujuan menjadi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang sengaja melakukan penghinaan terhadap ATM.

"Kenyataan itu tidak benar yang mengatakan tentera tidak buat apa-apa sedangkan veteran tentera seperti kami bergadai nyawa mempertahankan negara menentang komunis suatu ketika dahulu.

"Pada masa kini, biarpun tiada perang tetapi ATM dihantar melaksanakan misi pengaman di luar negara yang sudah tentunya bertarung nyawa dan ada yang terkorban dalam melaksanakan misi ini," katanya.

Beberapa hari lalu, kenyataan dikeluarkan Yew Yin melalui satu laman portal menjadi tular kerana disifatkan menghina ATM.

Ahli perniagaan itu disebut berkata, anggota tentera seperti yang diketahui hanya makan dan tidur, majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya mereka digunakan bagi mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda.