Jasa ATM tak ternilai dengan cukai dibayar Yew Yin

Dr. Asmah Razalli Ketua Wirawati PUTRA Malaysia memberi kenyataan media pada sidang media Khas Parti Putra Malaysia,Kuala Lumpur hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Dr. Asmah Razalli Ketua Wirawati PUTRA Malaysia memberi kenyataan media pada sidang media Khas Parti Putra Malaysia,Kuala Lumpur hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cukai dibayar oleh individu yang tidak menghormati kedaulatan negara tidak mampu menyamai jasa dan ketaatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendaulatkan keselamatan perairan, daratan serta laluan udara negara selama 24 jam tanpa henti.

Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr Asmah Razalli berkata demikian merujuk kepada kenyataan bersifat biadab dibuat ahli perniagaan Koon Yew Yin yang menghina ATM.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat jelas menunjukkan pemahaman yang lemah, cetek serta bodoh sombong mengenai objektif, misi dan tahap kesiapsiagaan ATM yang elit dan antara terbaik di dunia.

“Berusia 83 tahun, tetapi sedikit pun tidak menunjukkan rasa berterima kasih mahupun hormat terhadap ATM yang telah mengorbankan masa, tenaga serta kepayahan menjalani pelbagai latihan kesiapsagaan ketenteraan mempertahankan benteng serta sempadan negara yang bukan sahaja di daratan, lautan mahupun udara semenjak kemerdekaan. Apakah dia lupa yg tentera bukan hanya mengawal daratan?

“Amatlah malang bagi seorang rakyat Malaysia yang telah menyedut kekayaan dari bumi Malaysia yang aman ini mahu mendabik dada mengatakan ATM hanya tahu makan dan tidur serta layak menggantikan kerja buruh di ladang sedangkan segala keamanan serta kemakmuran yang kita nikmati hasil kerja keras ATM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, tindakan sewajarnya perlu dilakukan agar tiada lagi warganegara yang bersifat biadab serta mahu menunjukkan ciri ciri khianat di bumi Malaysia yang berdaulat.

“Ini bukan kali pertama Yew Yin mengeluarkan kenyataan biadab seperti ini, dia pernah dipecat dari menjadi anggota majlis penasihat Negeri Perak kerana memfitnah Almarhum Sultan Azlan Shah pada November tahun lalu.

“Belajar berterima kasih serta sudah sampai masanya Malaysia tidak memerlukan warganegara sebegini biadab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Yew Yin tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada tentera

Yew Yin menerima kecaman pelbagai pihak susulan kenyataan dibuat menerusi blog kendaliannya semalam yang menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar.

Sebagai seorang pembayar cukai, beliau rasa ‘tertipu’ kerana wang cukai rakyat telah digunakan untuk membiaya sektor perkhidmatan awam yang melebihi kapasiti serta mempunyai tahap keberkesanan yang rendah.

Beliau turut menulis bahawa anggota tentera hanya makan dan tidur dan majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran.

Bagaimanapun hari ini Yew Yin dilaporkan memohon maaf atas kenyataan yang telah menyinggung ramai pihak terutamanya ATM sendiri.