Samseng jalanan ditahan polis

Perbuatan suspek yang berlagak samseng dirakam seorang penumpang kereta terlibat.
A
A

KUALA LUMPUR - Lelaki berlagak samseng dengan memecahkan cermin sisi kereta dipandu seorang wanita dalam kejadian di Jalan Yaacob Latif di sini petang Sabtu lalu ditahan polis semalam.

Perbuatan lelaki berusia 27 tahun yang turut melemparkan cermin itu ke arah kenderaan dinaiki mangsa berjaya dirakamkan oleh seorang penumpang kereta dan menjadi tular selepas dimuat naik di media sosial.

Menerusi video berdurasi 23 saat itu, lelaki terbabit dirakam memecahkan cermin sisi kereta mangsa sebelum menghampiri cermin depan di bahagian pemandu.

Sambil mengeluarkan kata-kata kesat, suspek kemudian melemparkan cermin sisi yang dipatahkannya ke arah kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed berkata, mangsa yang dalam perjalanan ke Johor sebelum itu dikatakan terlanggar sebuah kereta yang berhenti secara mengejut di hadapannya berhampiran bulatan Cheras di Jalan Yaacob Latif di sini.

Menurutnya, pemandu kereta yang dilanggar kemudian turun dari kenderaan dan memarahi mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

“Lelaki terbabit bertindak agresif apabila menumbuk cermin sisi kereta mangsa hingga patah dan membalingnya ke arah kereta mangsa.

“Mangsa yang bimbang keadaan menjadi lebih buruk, terus memandu menuju ke balai polis.

“Suspek kemudian sekali lagi mengekori kereta mangsa dan berhenti di hadapannya di persimpangan lampu isyarat, namun wanita itu tetap meneruskan perjalanan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi pada jam 4.33 petang Sabtu lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat, suspek ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada jam 3.30 petang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mangsa wajar kerana cuba menyelamatkan diri dan penumpang lain sebelum keadaan menjadi lebih buruk.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia