Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS

Gambar hiasan
A
A

RINGGIT meningkat semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat untuk mengambil risiko terhadap aset berisiko bertambah baik selepas Amerika Syarikat (AS) membuat konsesi perdagangan dengan China.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.1870/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1960/1990 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, permintaan terhadap ringgit menjadi lebih baik berikutan pelabur gembira dengan penangguhan tarif AS ke atas import dari China.

Tarif sebanyak 10 peratus, yang dijadualkan bermula bulan depan ke atas produk tertentu termasuk komputer riba dan telefon bimbit, ditangguhkan kepada 15 Disember.

“Keputusan itu memberi kelegaan, mungkin memberi harapan bahawa penyelesaian yang baik dapat dicapai pada masa depan.

“Bagaimanapun, pasaran pertukaran asing dijangka kekal defensif, membawa kepada permintaan lebih tinggi terhadap mata wang selamat seperti dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, ringgit diniagakan kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0192/0224 daripada 3.0213/0252 dicatatkan pada Selasa, dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9359/9398 daripada 3.9905/9945.

Mata wang tempatan menokok berbanding pound British kepada 5.0575/0628 daripada 5.0633/0703 dan naik berbanding euro kepada 4.6802/6840 daripada 4.7016/0654 sebelum ini. - Bernama