Tulisan jawi diajar jika dapat persetujuan PIBG: KPM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membuat keputusan mengekalkan keputusan pada minggu lalu, supaya pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat di sekolah jenis kebangsaan mulai tahun 2020 diteruskan.

Kementerian Pendidikan (KPM) bagaimanapun berkata, ia hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

"Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan jawi ini dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid tahun empat mulai tahun 2020, murid tahun lima pada tahun 2021 dan murid tahun enam pada tahun 2022 di sekolah jenis kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, KPM juga menegaskan bahawa di sekolah kebangsaan ia akan teruskan seperti biasa.

"Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan jawi ini dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks. Mereka juga secara sepakat mengekalkan keputusan agar pengenalan tulisan jawi ini tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan," katanya.

Justeru, KPM berharap melalui keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri ini, isu pengenalan tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

"KPM dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengenalan tulisan khat di SJKC, SJKT diteruskan

Artikel Berkaitan: