Saiz perkhidmatan awam masih ideal

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Saiz perkhidmatan awam Malaysia masih ideal dan tidak terlalu besar berbanding negara lain, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Beliau berkata, jumlah penjawat awam sebanyak 1.6 juta orang turut melibatkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara-negara lain.

"Sekiranya ketiga-tiga sektor ini tidak diambil kira, ia hanya melibatkan sejumlah 616,718 kakitangan (setakat Mei 2018) ataupun nisbah 1:51 kepada rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia susulan laporan sebuah portal berita semalam bertajuk ‘Askar hanya makan tidur, tak pernah menembak, baik kerja ladang Felda’ yang memetik sebuah artikel bertajuk ‘My Proposal For The Reduction And Improvement Of Our Civil Service’ yang ditulis seorang ahli perniagaan di blognya.

Ahli perniagaan itu menyuarakan pandangan berkaitan saiz penjawat awam yang besar dan mengakibatkan perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat pada setiap tahun dengan membuat perbandingan dengan nisbah penjawat awam di negara seperti Singapura, Indonesia, Korea, China, Jepun, Rusia dan Britain.

Menurut Md Farid, kerajaan mengambil maklum mengenai perbelanjaan pengurusan terutama berkaitan gaji kakitangan awam yang meningkat saban tahun dengan mengambil beberapa inisiatif antaranya mengecilkan saiz perkhidmatan awam secara berperingkat dengan hanya 1.6 juta perjawatan diisi daripada keseluruhan 1.7 juta perjawatan yang wujud.

"Kerajaan juga mengambil pendekatan dasar penswastaan di mana kerajaan akan mengurangkan beban kewangan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembahagian sumber yang lebih cekap," katanya.

Md Farid berkata, langkah-langkah diambil dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan emolumen sehingga RM1.9 billion serta penjimatan sebanyak RM490 juta bagi bayaran pencen kakitangan awam.

Artikel Berkaitan:

Mengenai isu ketidakseimbangan kaum dalam pelantikan ke sektor awam, Md Farid berkata harus difahami bahawa pelantikan ke dalam perkhidmatan awam perlu melalui proses permohonan, temu duga dan pelantikan.

Menurutnya, kesemua proses itu dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan pihak berkuasa melantik lain yang melaksanakan urusan pelantikan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera (MAT), badan berkanun persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

"Kesemua proses pelantikan adalah berdasarkan merit dan tidak sama sekali berdasarkan kaum atau bangsa. SPA dan pihak berkuasa melantik yang lain sentiasa membuka peluang kepada semua kaum untuk memohon.

"Cuma berdasarkan kepada jumlah permohonan, sambutan dari kalangan bukan bumiputera agak kurang memberangsangkan berbanding kumpulan bumiputera," katanya, sambil menambah bahawa usaha akan diteruskan bagi menarik minat golongan bukan bumiputera menyertai perkhidmatan awam.

Md Farid berkata, peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan teratur selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah hasil profesionalime kakitangan awam dan sebarang tanggapan negatif terhadap perkhidmatan awam harus dinilai semula dengan lebih adil dan bertanggungjawab. - Bernama