Wisma Putra bantu urus proses dokumentasi Nora Anne

Nora Anne Quoirin
Nora Anne Quoirin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wisma Putra akan membantu dari segi dokumentasi dan bekerjasama dengan kedutaan Ireland bagi menguruskan mayat remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini, kerajaan Malaysia telah memberikan bantuan melalui pelbagai kementerian dan agensi kepada keluarga remaja itu, yang mayatnya ditemui semalam selepas 10 hari dilapor hilang dari sebuah resort di Pantai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, wakil polis dari Ireland dan Perancis telah mendapat kebenaran untuk berada di dalam bilik bedah siasat sebagai pemerhati.

“Wakil Kementerian Luar turut berada di Hospital Tuanku Jaafar selain seorang pegawai perhubungan (liaison officer) daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan bersama keluarga Nora Anne atas arahan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Badur),” katanya kepada Bernama.

Saifuddin berkata, peguam yang mewakili keluarga remaja itu, Sankara N Nair turut dibenar melihat mayat mendiang semalam.

Nora Anne dilapor hilang pada 4 Ogos, sehari selepas tiba bersama keluarganya untuk percutian dua minggu di resort The Dusun di Pantai, Negeri Sembilan.

Serentak itu, pihak berkuasa Malaysia melancarkan operasi mencari dan penyelamat yang secara keseluruhan melibatkan 353 anggota dari PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), komando VAT69, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta sukarelawan.

Mayat remaja itu ditemukan di kawasan lurah, 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarga itu oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada jam 1.57 tengah hari semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan mayat ditemukan Nora Anne

Polis yakin mayat dijumpai ialah Nora Anne

Kronologi kehilangan Nora Anne Quoirin