Tiga suspek kes samun warga asing diberkas

A
A

BUKIT MERTAJAM - Menjadikan warga asing sebagai sasaran, itu modus operandi digunakan tiga lelaki dalam melakukan jenayah samun di sekitar kawasan Bukit Tengah dan Batu Kawan sebelum ini.

Bagaimanapun, aktiviti jenayah mereka berjaya ditumpaskan polis setelah ditahan dalam beberapa serbuan dilakukan di Simpang Ampat dan Nibong Tebal di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, sebelum ini polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing yang menjadi mangsa samun kumpulan berkenaan dalam kejadian di Taman Perwira di sini Isnin lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 23 tahun sedang berjalan bersama rakan sebelum dihampiri sebuah kereta Perodua Myvi yang kemudian menghalang mereka.

"Seorang daripada suspek turun dari kereta dan telah merampas beg silang milik mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai RM60. Dia sempat melihat nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek sebelum membuat laporan kepada polis," katanya ketika dihubungi di sini.

Susulan itu, Mohd Mustafa berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah telah melaksanakan Op Cantas bagi mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan.

Katanya, suspek pertama ditahan di hadapan sebuah premis kereta sewa di Simpang Ampat pada jam 12.10 tengah hari semalam, manakala suspek kedua dan ketiga masing-masing ditahan dalam serbuan dilakukan di Taman Panchor Indah serta Kampung Victoria, Nibong Tebal.

Tambahnya, semakan yang dibuat mendapati semua suspek tidak bekerja dan mereka turut mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah serta dadah.

"Kita turut merampas pelbagai barang antaranya telefon bimbit, loket, beg dan sebagainya yang dipercayai milik mangsa disamun suspek.

"Semua mereka kini ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.