8,000 produk tak berdaftar, kosmetik bernilai RM200,000 dirampas

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Perak merampas 8,000 unit produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai hampir RM200,000 di tiga premis di Ipoh, Seri Manjung dan Lumut, dua minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk dirampas termasuk makanan disyaki dicemari perangsang seks seperti Candy B+ Complex, Soloco, Hickel dan Vimax; ubat kurus tidak berdaftar seperti Surut Ayu dan Li Da; serta produk kesihatan dicemari steroid seperti Al-Barakah Ayam Selasih dan Bella Formula Sinus Care.

"Maklumat awal berkaitan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi ini dikesan melalui aktiviti pemantauan di media sosial yang dijalankan oleh pihak CPF Negeri.

“Risikan terhadap maklumat awal ini menunjukkan suspek memiliki tiga premis yang menjalankan aktiviti jualan tersebut dan semua premis berkaitan merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar bagi produk-produk tersebut di sekitar Perak," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta merta memandangkan produk tersebut tidak terjamin kualiti dan keselamatannya.

"KKM mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik melalui media sosial.

“Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

"Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut," katanya.

Beliau berkata, individu didapati bersalah menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Sementara, bagi syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sebarang aduan mengenai produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifkasi boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat aduan dengan menghubungi talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di pasaran. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia