Lebih 2.48 juta jemaah tunai haji tahun ini

No Image Caption
A
A
A

MAKKAH - Lebih 2.48 juta jemaah menunaikan haji tahun ini termasuk lebih 1.85 juta jemaah dari luar Arab Saudi manakala selebihnya penduduk tempatan, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Memetik Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat, Putera Khalid Al-Faisal yang juga Gabenor Makkah, SPA melaporkan 298,378 jemaah melanggar permit haji dan peraturan masuk, iaitu menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas.

“Bilangan jemaah yang mempunyai permit haji tetap mencapai 336,000,” lapor SPA.

Al-Faisal dilaporkan berkata, lebih 350,000 pekerja serta 35,000 sukarelawan menawarkan perkhidmatan kepada jemaah haji dari semua sektor, selain tambahan 120,000 anggota keselamatan dan 30,000 pengamal perubatan.

Agensi itu juga melaporkan badan amal telah mengedarkan lebih 26 juta makanan; kapasiti beban elektrik mencapai 4,714 KW; manakala lebih 41 juta meter padu air dipam masuk ke Makkah dan tempat suci semasa musim haji tahun ini.

“Lebih 2.48 juta jemaah diangkut dari Arafah ke Musdalifah dalam tempoh enam jam termasuk 360,000 jemaah menggunakan kereta api di tanah suci itu; 100,000 menggunakan laluan pejalan kaki dan 20,000 menaiki bas.

“Perkhidmatan kesihatan disediakan untuk lebih 500,000 jemaah. Sebanyak 173 hospital, pusat kesihatan dan klinik mobile dengan kapasiti 5,000 katil disediakan untuk jemaah haji, selain itu 336 pembedahan jantung terbuka dan pengkateteran jantung serta 2,700 pembedahan berlainan dijalankan,” kata Al-Faisal. - Bernama

Artikel Berkaitan: